Polis buru remaja curi barang dalam pasar raya

Suspek (kanan) dibantu seorang lelaki dipercayai bapanya melarikan diri dari lokasi selepas kantoi mencuri.
Suspek (kanan) dibantu seorang lelaki dipercayai bapanya melarikan diri dari lokasi selepas kantoi mencuri.
A
A
A

JEMPOL – Polis sedang mengesan seorang remaja yang melarikan diri selepas mencuri beberapa barangan di sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Bandar Seri Jempol dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, laporan berhubung kejadian itu telah dibuat oleh pihak pengurusan pasar raya terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“Pihak polis sedang mengambil tindakan untuk mengesan dan menangkap suspek tersebut.

“Kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar jam 7 malam, apabila suspek dilihat berada dalam keadaan mencurigakan keluar masuk ke pasar raya berkenaan sambil membawa sebuah beg,” katanya pada Ahad.

Pada Sabtu, tular satu video berdurasi tiga minit 44 saat yang memaparkan suspek ditahan selepas kantoi mencuri beberapa barangan di pasar raya berkenaan.

Pemeriksaan terhadap beg yang disandang suspek menemui beberapa barangan yang tidak disertakan dengan resit pembayaran.

Suspek cuba ditahan, namun dihalang oleh dua individu dipercayai ibu bapanya yang merayu agar suspek dilepaskan kerana masih bersekolah.

Remaja itu kemudiannya berjaya melarikan diri selepas berlaku sedikit pergelutan di lokasi kejadian.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!