Lagi insiden pendaki terjatuh di Gunung Rinjani

Seorang pendaki warga Switzerland mengalami kecederaan parah selepas terjatuh sejauh 375 meter di kawasan cerun curam Gunung Rinjani, Indonesia.
Seorang pendaki warga Switzerland mengalami kecederaan parah selepas terjatuh sejauh 375 meter di kawasan cerun curam Gunung Rinjani, Indonesia.
A
A
A

LOMBOK TIMUR – Seorang pendaki warga Switzerland mengalami kecederaan parah selepas terjatuh sejauh 375 meter di kawasan cerun curam Gunung Rinjani, Indonesia.

Mangsa, dikenali sebagai Benedikt Emmenegger, dilaporkan tergelincir ketika menuruni laluan ekstrem dari Pelawangan Sembalun menuju ke Danau Segara Anak, sekitar jam 12.20 tengah hari, Rabu lalu 16 Julai 2025.

Menurut Pejabat Cari dan Penyelamat (SAR) Mataram, mangsa memulakan pendakian dari Sembalun pada Selasa (15 Julai) dan dipercayai hilang keseimbangan semasa menuruni lereng yang licin dan berbatu.

“Ketika kejadian, dia berada pada ketinggian 2,693 meter dari aras laut, dan jatuh ke paras 2,318 meter,” kata Ketua Seksyen Operasi SAR Mataram, Saidar Rahman.

Pasukan penyelamat terdiri daripada lima anggota segera digerakkan sebaik menerima maklumat daripada penunjuk arah yang menemani mangsa. Mereka tiba di lokasi sekitar jam 3.35 petang dan berjaya menyelamatkan Benedikt dalam keadaan sedar.

“Beliau mengalami kecederaan parah pada kaki, dipercayai patah, dan kini sedang menerima rawatan lanjut,” ujar Saidar.

Insiden ini merupakan kejadian kedua membabitkan pendaki warga asing dalam tempoh kurang sebulan di Gunung Rinjani, selepas seorang pendaki Malaysia turut mengalami kecederaan serius akibat tergelincir pada akhir Jun lalu.

Berikutan kejadian berulang itu, segelintir pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan dan menggesa pihak berkuasa menilai semula keselamatan laluan ke puncak gunung berkenaan.

“Gunung pun macam perlukan cuti,” komen seorang pengguna Instagram, manakala yang lain menulis, “Jangan jadikan pendakian untuk ‘healing’ berakhir dengan tragedi.”

Artikel Berkaitan:

Gunung Rinjani berketinggian 3,726 meter merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dan destinasi tumpuan pendaki dari seluruh dunia. Bagaimanapun, laluan seperti Pelawangan Sembalun terkenal sebagai antara laluan pendakian paling mencabar dan berisiko tinggi.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk ramalan cuaca, memastikan tahap kecergasan fizikal mencukupi dan menggunakan khidmat penunjuk arah profesional sebelum melakukan pendakian di kawasan gunung berisiko tinggi.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!