Sebahagian Gunung Rinjani ditutup

JAKARTA - Pengurusan Taman Negara Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat, Indonesia mengumumkan penutupan sebahagian lokasi pelancongan tersebut susulan beberapa insiden kemalangan melibatkan pelancong asing.
Jurucakapnya, Yarman memaklumkan langkah itu dibuat bagi meningkatkan langkah keselamatan di sepanjang laluan pendakian.
"Laluan terlibat termasuk dari bahagian Pos Pelawangan yang terletak pada ketinggian 2,600 meter dari paras laut hingga ke tasik kawah popular Segara Anak," ujarnya.
Difahamkan, laluan dengan bentuk muka bumi mencabar itu paling kerap digunakan kumpulan pendaki kerana ia menawarkan pemandangan yang menakjubkan.
"Jualan tiket dalam talian digantung sementara sehingga diberitahu kelak. Pengunjung yang sudah membeli tiket masih dibenarkan meneruskan ekspedisi mereka menggunakan laluan berbeza memandangkan akses ke Tasik Segara Anak telah ditutup," jelasnya lagi.
Data menunjukkan hampir 6,000 pengunjung sudah pun membeli tiket untuk mendaki Rinjani hingga akhir tahun ini dengan lebih 5,000 orang dijangka tiba pada pertengahan Julai hingga Ogos depan.
Keputusan itu dibuat selepas dua pendaki warga Denmark, Sarah Tamar van Hulten dan rakyat Switzerland, Benedikt Emmenegger terjatuh ke dalam gaung berhampiran Tasik Segara Anak pada Rabu dan Khamis lalu.
Tahap keselamatan di puncak setinggi 3,727 meter itu terus dipersoalkan banyak pihak susulan tragedi menimpa pendaki warga Brazil, Juliana De Souza Pereira Marins yang maut setelah terjatuh gaung sedalam 600 meter pada bulan lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

