Kompleks Masjid Tahfiz Al-Ayubi sasar lahir generasi pelapis dakwah

Kompleks Masjid Tahfiz Al-Ayubi di Kota Siti Mariam, Pulau Buih, Kangkong di Pasir Mas yang sedang dibina.
Kompleks Masjid Tahfiz Al-Ayubi di Kota Siti Mariam, Pulau Buih, Kangkong di Pasir Mas yang sedang dibina.
A
A
A

PASIR MAS – Gabungan antara institusi ibadah dan pusat pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembinaan Kompleks Masjid Tahfiz Al-Ayubi di Kota Siti Mariam, Pulau Buih, Kangkong di sini menjadi asas penting ke arah melahirkan generasi pelapis dalam bidang tahfiz serta dakwah.

Projek yang mula dilaksanakan sejak 3 Mac 2023 itu kini mencapai 43 peratus kemajuan fizikal, namun masih memerlukan dana tambahan sebanyak RM11.6 juta untuk disiapkan sepenuhnya daripada jumlah keseluruhan kos pembinaan sebanyak RM13.7 juta.

Pengerusi Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud berkata, kompleks tersebut merupakan masjid tahfiz pertama di kawasan Pulau Buih dan dirancang sejak 6 Jun 2006.

“Matlamat utama pembinaan ini adalah untuk menyediakan pusat pendidikan dan penginapan kepada pelajar-pelajar tahfiz serta membentuk pelapis dalam bidang agama dan dakwah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, kompleks berkeluasan 3,883 meter persegi itu akan mampu memuatkan 400 pelajar, masing-masing terdiri daripada 200 lelaki dan 200 perempuan manakala masjid pula berkapasiti 600 jemaah pada satu-satu masa.

Tambahnya, kemudahan yang sedang dibangunkan termasuk masjid utama, kuarters guru dan pelajar, padang, dataran, parkir, tandas, tempat wuduk, dewan makan, dewan terbuka, pendawaian elektrik dan sistem pembesar suara.

“Kami amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai sebagai saham akhirat untuk menjayakan pembinaan ini.

“Ia bukan hanya membina fizikal masjid, tetapi membina masa depan generasi Islam,” katanya.

Setakat ini, katanya, pihak pengurusan menerima sumbangan infaq berjumlah RM2.1 juta, dan dana tambahan amat diperlukan bagi menyempurnakan projek tersebut secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam, Masjid Tahfiz Al-Ayubi 03120010014936 atau menghubungi Zulta di talian 012-9519426 untuk maklumat lanjut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!