Masjid Tahfiz Al-Ayubi rayu sumbangan

PASIR MAS - Impian penduduk setempat untuk melihat sebuah masjid tahfiz dibina di Pulau Buih, Kangkong di sini hampir menjadi kenyataan apabila projek pembinaan Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Kota Siti Mariam memulakan fasa awal pembinaannya pada Mac dua tahun lalu.
Pengerusi Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud berkata, masjid tahfiz pertama di kawasan itu sudah lama dirancang sejak 6 Jun 2006, namun usaha merealisasikan pembinaannya memakan masa berikutan kekangan dana dan proses mendapatkan kelulusan tapak.
“Masjid ini bukan sekadar rumah ibadah, malah bakal berfungsi sebagai pusat pendidikan tahfiz yang mampu melahirkan generasi al-Quran dan menjadi pusat komuniti.
“Pulau Buih mungkin sebuah kawasan kecil di mukim Kangkong tetapi cita-cita kami besar. Kami mahu masjid ini menjadi nadi yang menyatukan masyarakat selain mendidik anak-anak menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kompleks masjid berkeluasan 41,793 kaki persegi itu mampu menampung 600 jemaah pada satu masa dan akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan, padang, parkir, serta tempat wuduk moden.
Tambahnya, masjid tahfiz itu juga bakal memberi manfaat kepada pelajar yang ingin mendalami hafazan al-Quran sambil menetap di kuarters disediakan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bernombor 03120010014936 atau hubungi pihaknya di talian 012-9519426.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

