Malaysia, ASEAN dan ribut tarif: Apa yang perlu ditakutkan?

TERDAPAT dua peristiwa mutakhir ini saling berkait yang wajar diberi perhatian. Kedua-duanya bukan sahaja membuka peluang yang signifikan bagi negara, malah turut memberi sebab untuk kita lebih optimis menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
Pertama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) baru-baru ini melaporkan bahawa negara berjaya menarik RM378.5 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor-sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama pada tahun 2024. Ini adalah nilai pelaburan yang diluluskan tertinggi dalam sejarah, melibatkan pelaksanaan 6,700 projek yang akan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan.
Kedua, Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, Johor baru sahaja berlangsung pada 28 Februari 2025. Dalam pertemuan tersebut, Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN telah meluluskan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) yang dikemukakan oleh Malaysia selaku Pengerusi, untuk Tonggak Ekonomi ASEAN tahun ini. PED ini dirangka dengan teliti untuk memacu integrasi yang lebih mantap dalam Komuniti Ekonomi ASEAN.
Sembilan daripada 18 PED tersebut adalah di bawah tanggungjawab langsung Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN, manakala sembilan lagi berada dalam bidang-bidang penting termasuk pembiayaan iklim, kerjasama tenaga, mineral kritikal, syarikat pemula teknologi, rangkaian keselamatan AI, pertanian dan kesalinghubungan pembayaran.
Apakah kaitan antara angka pelaburan yang diluluskan dan sembilan PED di bawah Menteri-Menteri Ekonomi? Penghubung utama adalah dasar perindustrian setiap negara ASEAN, dan bagaimana ia menyokong strategi setiap negara untuk terus menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), yang telah menyumbang kepada peningkatan angka FDI ASEAN dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas sekali, ASEAN telah mendapat manfaat daripada perang perdagangan dan teknologi AS-China dalam bentuk FDI yang telah dialihkan ke rantau ini, tetapi kita juga mesti mengakui bahawa aliran masuk sedemikian juga disebabkan oleh dasar perindustrian yang kukuh oleh negara-negara tertentu. Bagi Malaysia, keyakinan pelabur mencerminkan agenda pembaharuan perindustrian kita yang konsisten dan jelas, khususnya melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, dan dasar-dasar sokongan lain seperti Strategi Semikonduktor Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau.
Yang menariknya, pelaburan yang diluluskan memperlihatkan keseimbangan yang baik antara pelaburan domestik (55 peratus) dan asing (45 peratus). Bagi pelaburan asing, terdapat keseimbangan sumber negara dari Timur dan Barat. Daripada RM170.4 bilion pelaburan asing, tiga sumber utama adalah Amerika Syarikat, Jerman dan China. Ini membuktikan daya tarikan Malaysia kepada pelabur global, hasil daripada pendirian geopolitik dan geoekonomi negara yang neutral dan berkecuali.
Jika diimbas kembali, pelaburan yang diluluskan mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan iaitu 23 peratus pada tahun 2023 dan 14.9 peratus pada tahun 2024, yang sudah tentu bermula dari asas yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Kita juga perlu mengakui dorongan peribadi Perdana Menteri yang telah berjaya memuktamadkan pelbagai pelaburan berprofil tinggi dan bernilai besar untuk Malaysia. Sudah tentu, kejayaan ini turut disumbangkan oleh usaha gigih pasukan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MIDA, serta kementerian dan agensi utama lain yang telah membantu sektor perindustrian dan ekonomi kita mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan ini.
Untuk tahun 2025, kita menyasarkan perkembangan perdagangan dan pelaburan berkembang pada kadar setanding dengan pertumbuhan KDNK, yang diunjurkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025. Dan di sinilah PED akan memainkan peranan.
Peranan PED
Antara sembilan PED di bawah tanggungjawab Menteri-Menteri Ekonomi, PED yang utama termasuklah memuktamadkan rundingan untuk meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA). Ini dianggarkan akan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, yang pada masa ini hanya 23-24 peratus daripada jumlah perdagangan blok kita.
Dari segi industri, pelaburan dan industri, Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada pemuktamadan Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG), pembangunan dasar dan garis panduan untuk Pelan Hala Tuju Pelaksanaan EV ASEAN dan Rangka Kerja ASEAN untuk Rantaian Bekalan Bersepadu bagi Semikonduktor (AFISS).
Selaras dengan tema kepengerusian kami iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, AEM juga telah meluluskan PED untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan PMKS ASEAN bagi Peralihan Hijau, yang merupakan kunci ke arah membina kapasiti PMKS untuk membangun secara mampan.
PED lain juga bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan Rakan-Rakan Dialog kami. Contohnya, kami akan membangunkan Deklarasi Bersama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada bulan Mei nanti.
Dengan kesemua perkembangan positif ini, saya berharap rakyat Malaysia akan menyedari bahawa walaupun sesetengah pihak cuba untuk menyemai bibit-bibit kebimbangan tentang ekonomi pada tahun 2024, momentum untuk kebangkitan negara kita sebenarnya berada pada landasan yang sihat.
Namun ada mendung di hadapan kita, dalam bentuk tarif dan sekatan perdagangan, yang telah dibincangkan oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dengan bersungguh-sungguh. Walaupun masih terlalu awal untuk mengukur kesan dasar baharu Amerika Syarikat, MITI serta rakan sekerja ASEAN kami telah meramalkan pelbagai senario, bagi membuat persiapan dan libat urus yang sewajarnya.
Permukiman AEM telah mencadangkan agar pasukan petugas ASEAN peringkat tinggi ditubuhkan untuk memantau isu-isu geopolitik, serta merumuskan pendirian bersama mengenai pendekatan dan strategi yang sesuai. Kita mesti sedar bahawa implikasi isu-isu yang mencabar ini juga meliputi topik utama lain seperti mineral strategik, daya tahan rantaian bekalan dan keselamatan teknologi.
Tiada satu penyelesaian mudah yang akan membantu Malaysia dan ASEAN menangani implikasi persaingan geopolitik dan ekonomi AS-China dalam tempoh empat tahun akan datang, atau selama-lama pertelingkahan mereka berlanjutan. Sebaliknya, dalam dunia multipolar yang sentiasa berubah ini, cara terbaik adalah untuk tetap kekal di haluan kita: untuk terus membina ASEAN dan ekonominya, mengekalkan perpaduan dan sifat berkecuali, sambil terus berlibat urus dengan dengan semua pihak dan mempelbagaikan hubungan perdagangan kita. 18 PED yang diketengahkan di atas akan menyokong ASEAN dalam hal ini.
Walaupun kita mungkin berbeza dari segi ekonomi dan fahaman politik, saya percaya setiap Menteri Ekonomi ASEAN sangat memahami keperluan untuk menghadapi cabaran masa depan bersama-sama sebagai satu pasukan.
Potensi ASEAN tiada tandingan – pasaran kita kukuh dengan 680 juta penduduk, dan ASEAN bakal menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030, menguasai kira-kira 8 peratus daripada eksport global (setanding dengan AS) semasa.
Senario global adalah sukar dan ia akan menjadi lebih sukar. Tetapi, seperti yang dibuktikan oleh angka pelaburan tertinggi dan pembangunan berterusan ASEAN, kita mempunyai cara tersendiri untuk mengharunginya sebagai satu rantau yang bersatu, bagi menghadapi apa pun cabaran masa depan. Jadi, walaupun kita perlu berhati-hati, jangan pula kita lumpuh dek ketakutan atau kegusaran.
Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita berganding bahu bersama kerajaan Madani, menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani cabaran dan memajukan negara tercinta.
Usahlah kita terpedaya dengan suara-suara sinis dan pesimis yang sentiasa cuba menidakkan kejayaan Malaysia. Ingatlah pesanan Franklin Delano Roosevelt, ‘Satu-satunya perkara yang perlu kita takuti adalah ketakutan itu sendiri’.
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

