Kalau sayang, bantulah PMX

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

INI jenaka lama zaman Perang Dingin. Seorang warga Rusia pergi ke depan Istana Kremlin dan marah pemimpin negara dengan lantang: “Hang dungu!” Dia dihukum, bukan kerana mencaci atau memfitnah pemimpin, tetapi kerana membongkar rahsia sulit negara.

Apa maksud tersirat jenaka ini? Yang benar itu mungkin rahsia, tetapi pasti bukan fitnah. Sebaliknya, kalau yang rahsia itu pasti benar, bukan fitnah.

Jenaka ini penting untuk imbasan orang-orang besar yang sedang menuntut sesiapa yang membocorkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dihukum.

Dalam ‘minit’ berkenaan, ada seorang hakim kanan yang kononnya ada salah laku tetapi tetap dicadangkan untuk mengisi kekosongan Hakim Besar Malaya.

Kalau kes itu disiasat atas kesalahan menyebar maklumat salah, maka kita boleh meraikannya kerana insiden buruk itu sebenarnya membuktikan tiada perkara yang bukan-bukan dalam institusi kehakiman kita.

Sebaliknya, kalau kes ini tetap disiasat atas kesalahan membocorkan rahsia sulit, maka ia menyokong tuduhan memang ada ura-ura untuk mencadangkan seorang hakim yang dikatakan bersalah laku sebagai Hakim Besar Malaya.

Maka, sekalipun pembocor itu ditangkap dan dihukum, pihak yang lebih kuat dihukum ialah kehakiman dan Perdana Menteri ke-10 (PMX).

Sekiranya pengisi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tidak termasuk hakim kanan yang membawa kepada semua kontroversi kali ini, maka krisis kehakiman kali ini dapat diredakan.

Apa yang perlu dibuat ialah mengetatkan akta JAC supaya pelantikan hakim-hakim akan ditentukan oleh JAC yang lima daripada sembilan ahlinya dinamakan oleh PM, dan bukan PM sendiri.

Artikel Berkaitan:

Kalau fungsi PM dalam menyampaikan syor JAC kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu itu dibayangkan sebagai peranan posmen, ini bukan merendahkan darjat PM, tetapi menunjukkan bagaimana Kerajaan Madani memartabatkan kebebasan kehakiman.

Ini mungkin susah difahami oleh puak setia PMX. Tetapi yang benar-benar sayangkan PMX pasti faham. Dan siapa lagi yang lebih sayangkan PMX daripada puterinya, Nurul Izzah.

Kehadiran Nurul Izzah dalam perhimpunan Berarak untuk Keadilan anjuran Majlis Peguam Negara mungkin dipandang serong atau sinis oleh sesetengah pihak sebagai adegan politik yang kelewatan.

Saya lebih suka lihatnya daripada segi yang positif. Ia menandakan kemungkinan PMX bersedia memperkukuhkan kehakiman.

Sejak pelantikan beliau sebagai PM 31 bulan yang lalu, pihak pembangkang tidak pernah berhenti menuntut beliau dipecat. Krisis kehakiman ini menambahkan lagi satu alasan dan menghidupkan semula desakan ini.

PMX banyak kali mengatakan reformasi tidak boleh digesakan kerana ia mungkin mengundang bantahan yang kuat sampai reformasi gagal sama sekali.

Kalau kebimbangan ini adalah sedikit asasnya dalam perihal kaum dan agama, ia nyata tidak boleh guna pakai dalam isu kehakiman.

Perikatan Nasional nyata sekali bersedia untuk merebut ‘pengundi medan tengah’ daripada Pakatan Harapan-Barisan Nasional atas isu-isu tatakelola seperti kebebasan kehakiman serta penyiasatan dan pendakwaan kes rasuah yang tidak memilih bulu.

Adalah baik ‘geng setiawan’ PMX tak kira dalam mesin parti atau mesin kerajaan memerhatikan respons Nurul Izzah sebelum menyerang atau mencari hukum mana-mana pihak, sama ada ‘pembocor’ atau pendesak reformasi di bangku belakang kerajaan seperti Rafizi Ramli dan lapan rakannya.

Kalau sayangkan PMX, maka bantulah PMX menegakkan semula panji reformasinya dengan tinggi dan megah.

Reformasi tidak semestinya perlukan PMX, tetapi PMX pasti memerlukan reformasi.

Padi merendah kerana berisi,

Ketua dijunjung kerana berkarisma.

Dahulu diangkat kerana reformasi,

Baik sampai bila-bila pun sama.

*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!