Israel serang Syria, sasar ibu pejabat tentera

DAMSYIK - Israel memperluaskan lagi kempen ketenteraan mereka di Asia Barat dengan mengebom ibu pejabat tentera di ibu kota Syria pada Rabu.
Tindakan pencerobohan itu dilancarkan sehari selepas pasukan tentera mara ke bandar Sweida yang didiami puak Druze untuk mengawasi pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui bersama puak Bedouin.
Rejim Zionis mengambil peluang untuk campur tangan dalam konflik dalaman di Damsyik kononnya untuk melindungi komuniti Druze.
Menteri Pertahanan, Israel Katz dengan angkuh menyatakan mereka tidak akan meminggirkan puak Druze dan mengambil langkah yang sewajarnya.
"Tentera Syria perlu berundur dari Sweida atau kami akan bertindak balas jika mesej itu gagal dipatuhi," ujarnya sebelum serangan tersebut dilancarkan.
Ketegangan kembali memuncak di Damsyik selepas pasukan tentera memasuki kubu kuat komuniti Druze di selatan negara tersebut setelah insiden pertempuran bersama puak Bedouin hingga meragut 30 nyawa pada akhir minggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi alasan mereka cuba melindungi puak Druze yang kononnya mempunyai tali persaudaraan kuat dengan komuniti Druze di Tel Aviv. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

