Tikus dan sampah cemari Ibu Kota Nusantara

Kelibat tikus dirakamkan pelancong semasa mengunjungi IKN baru-baru ini. Foto Agensi
Kelibat tikus dirakamkan pelancong semasa mengunjungi IKN baru-baru ini. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Ribuan pengunjung yang membanjiri Ibu Kota Nusantara (IKN) sempena cuti Aidilfitri disambut bukan sahaja oleh bangunan kerajaan baharu yang gah, tetapi juga oleh masalah kebersihan serius seperti tikus berkeliaran dan longgokan sampah, termasuk sisa plastik.

Video tular di media sosial memaparkan tikus berlari di tengah khalayak ramai di kawasan pembinaan ibu negara terancang Indonesia itu yang terletak di tengah Pulau Borneo, mencetuskan kritikan bahawa projek mega tersebut mungkin hanya 'indah khabar dari rupa'.

Sebagai respons, Pihak Berkuasa IKN telah mengerahkan ratusan perangkap tikus dan menjanjikan langkah sanitasi tambahan dalam usaha membendung masalah perosak yang dibimbangi akan mencemarkan imej IKN sebagai bandar pintar dan mesra alam.

“Dahulu kawasan ini merupakan kawasan berhutan dan berbukit. Secara semula jadi, terdapat banyak sarang tikus lama. Namun, kami tidak berpeluk tubuh. Pasukan kesihatan dan komuniti sedang giat menangani isu ini,” kata Timbalan Pihak Berkuasa Kawalan Pembangunan IKN, Thomas Umbu Pati Tena.

Projek pemindahan ibu negara dari Jakarta ke IKN menelan belanja sekitar AS$32 bilion (RM143 bilion) dan bertujuan menangani pelbagai masalah Jakarta termasuk banjir, pemendapan tanah dan kesesakan penduduk.

Bangunan dalam pembinaan yang akan digunakan oleh beberapa kementerian di IKN. Foto AFP
Bangunan dalam pembinaan yang akan digunakan oleh beberapa kementerian di IKN. Foto AFP

IKN telah dipromosikan secara meluas di peringkat antarabangsa sebagai metropolis masa depan dengan ciri lestari dan berteknologi tinggi. Pembinaannya bermula pada 2022 dan dijangka menempatkan hingga 1.9 juta penduduk.

Namun, kehadiran tikus yang dilaporkan mengejar pelancong serta sampah bertaburan telah mencalarkan imej projek mega itu.

Artikel Berkaitan:

Ketika cuti Aidilfitri, lebih 64,000 pelawat direkodkan berkunjung ke IKN, dengan ramai teruja melihat bangunan moden yang anggun, namun, tidak kurang juga yang kecewa dengan tahap kebersihan.

“Bangunannya memang mengagumkan, tapi kebersihannya perlu diperbaiki. Orang buang botol dan sampah merata-rata, walaupun papan tanda sudah banyak disediakan,” kata Via, pelancong dari Surabaya, kepada media tempatan.

Sementara itu, beberapa kumpulan alam sekitar memberi amaran bahawa pembukaan hutan untuk projek ini boleh menjejaskan ekosistem Borneo yang antara paling kaya biodiversiti di dunia. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!