Himpunan Turun Anwar: Tiada notis sulitkan polis, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Rabu.
Saifuddin Nasution Ismail ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui Himpunan Turun Anwar hujung bulan ini 'sedikit menyulitkan' pihak berkuasa.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang memutuskan penganjur tidak lagi diwajib memaklumkan kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.

Bagaimanapun beliau menegaskan, adalah menjadi tugas polis untuk memastikan setiap perhimpunan dikendalikan dengan profesional.

"Himpunan itu telah pun dihebahkan dan dalam keadaan itu, Mahkamah Persekutuan juga telah membuat keputusan bahawa penganjur tak perlu beritahu kepada polis.

"Jadi kita tak bolehlah mengatasi keputusan Mahkamah Persekutuan namun polis tetap bertanggungjawab memastikan keselamatan awam terjamin.

"Kalau penganjur disyaratkan beritahu polis, kita tahu dia mahukan, kumpul di mana, berapa anggaran kekuatan peserta.

"Jadi kita boleh gerakkan angka yang munasabah. Bukan sekat, tetapi untuk memudahkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) dan dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman denda terhadap kegagalan memberikan notis awal adalah satu bentuk larangan, bukannya sekatan yang dibenarkan mengikut Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun seksyen tertentu dalam Akta Perhimpunan Aman telah diisytihar tidak berperlembagaan, Saifuddin menegaskan tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta.

"Tiga larangan utama perlu dipatuhi peserta perhimpunan iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak.

“Kalau mereka langgar (tiga larangan) juga, kita terpaksa ambil tindakan. Jangan pula kata polis tak hormati kebebasan. Tak kena,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa polis menyekat hak rakyat untuk berhimpun, sebaliknya menegaskan kerajaan konsisten dalam menghormati kebebasan bersuara.

"Kerajaan ini tidak pernah sekat himpunan tetapi kami minta kerjasama, jangan cetus provokasi dan jangan langgar undang-undang," jelasnya.

Difahamkan, lebih 300,000 orang dari seluruh negara akan hadir pada himpunan itu sebagai manifestasi rakyat untuk selamatkan negara yang kini dihimpit pelbagai masalah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!