Polis jangka 15,000 sertai Himpunan Turun Anwar 26 Julai Ini

Mohamed Usuf.
Mohamed Usuf.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sehubungan itu menasihatkan penganjur dan peserta agar mematuhi semua peraturan serta undang-undang sedia ada semasa berarak dan berhimpun.

“Penganjur iaitu Dewan Pemuda Pas telah memaklumkan mengenai perhimpunan tersebut kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

“Sejurus selepas pemakluman dibuat, pihak kami telah membuat persiapan dengan menempatkan lebih 2,000 pegawai dan anggota bagi menjaga keselamatan serta membantu melancarkan perhimpunan, sekali gus mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mohamed Usuf turut memaklumkan bahawa peserta dijangka berkumpul di empat lokasi utama iaitu Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

“Kami akan melaksanakan kawalan sebaik mungkin. Saya menyeru kepada semua penganjur dan peserta supaya berhimpun secara aman dan menjaga tingkah laku masing-masing.

“Kita akui hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan untuk berhimpun, namun peserta dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang tindakan provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” tegasnya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan mengikut peruntukan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Jangan membakar apa-apa objek, termasuk suar. Berhimpunlah secara tertib. Kita semua bertanggungjawab untuk menjamin keselamatan bersama,” katanya.

Mengulas mengenai penutupan jalan, Mohamed Usuf berkata, tindakan tersebut akan diambil berdasarkan keperluan semasa dan situasi pada hari kejadian.

“Setakat ini, penganjur memaklumkan bahawa peserta akan mula berkumpul sekitar jam 12 tengah hari dan akan berarak ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang,” katanya.

Terdahulu, pihak penganjur menjangkakan sehingga 50,000 peserta akan menyertai himpunan tersebut.

Pada 12 Julai lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata bahawa mobilisasi penyokong sedang giat dijalankan, melibatkan semua peringkat termasuk di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Menurut beliau, perhimpunan tersebut akan diadakan secara aman dan tertib, selaras dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!