[VIDEO] 'Beri keadilan, bersihkan nama Syed Ahmad Idid'
SHAH ALAM - Kerajaan dan pihak bertanggungjawab perlu mengkaji semula isu yang melibatkan Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid bagi memberikan keadilan kepada bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu.
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, Syed Ahmad Idid menjadi mangsa keadaan ketika beliau cuba menjadikan badan kehakiman sebagai sebuah entiti yang dihormati, disegani dan bersih daripada rasuah.
“Ketika kejadian itu berlaku, masih belum ada akta yang melindungi pemberi maklumat (whistleblower) dan beliau mendedahkan sesuatu berasaskan kebenaran.
“Oleh kerana tiada perlindungan, maka beliau disuruh berhenti (meletak jawatan) tanpa diberikan hak pencen, pampasan dan sebagainya.
“Kerajaan perlu menilai semula kes ini seperti mana yang pernah berlaku kepada (Allahyarham) Tun Salleh Abas, membuat keputusan dan memberikan pampasan yang sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Syed Ahmad Idid mendedahkan bahawa beliau tidak menerima sebarang keistimewaan sebagai penjawat awam termasuk bayaran pencen selepas dipaksa meletakkan jawatan kira-kira 30 tahun lalu.
Beliau memaklumkan bahawa itu merupakan sebahagian ‘harga’ yang perlu dibayar demi integriti, berikutan tindakannya menulis sepucuk surat pada tahun 1996 bagi mendedahkan dakwaan salah laku yang melibatkan badan kehakiman di Malaysia ketika itu.
Jelas Syed Hamid, pemulangan hak pencen dan keistimewaan sebagai penjawat awam kepada bekas Hakim Mahkamah Tinggi tersebut tidak bermaksud membetulkan perkara lama atau menghukum mana-mana pihak yang terlibat, sebaliknya bertujuan menegakkan integriti penjawat awam demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Ini bukan soal berapa jumlah pampasan yang patut dibayar, tetapi membuktikan bahawa tindakan menyuruh beliau meletak jawatan adalah tidak wajar.
“Kerajaan perlu mencari formula untuk mengatasi ketidakadilan ini. Walaupun tidak mudah, sekurang-kurangnya mereka perlu mengakui bahawa beliau telah teraniaya,” ujarnya.
Sementara itu, seorang bekas ketua hakim berpendapat bahawa kerajaan perlu mengkaji secara menyeluruh dan mengenal pasti sama ada arahan peletakan jawatan itu dibuat tanpa memberikan peluang kepada Syed Ahmad Idid untuk memberikan penjelasan terlebih dahulu.
“Sekiranya selepas siasatan didapati terdapat ketidakadilan terhadap beliau, maka sepatutnya beliau diberikan pampasan yang wajar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
