NGO tuntut kerajaan beri pampasan, kembalikan reputasi Syed Ahmad Idid

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa tampil mengiktiraf kebenaran pendedahan yang dibuat oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid serta memohon maaf secara rasmi atas layanan tidak adil dikenakan terhadap beliau lebih dua dekad lalu.
Gesaan itu dibuat Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi Majlis Ayahanda Negara (MANAR), Datuk Seri Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Datuk Abdul Ghani Samsudin dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut mereka, Syed Ahmad Idid telah menunjukkan keberanian luar biasa apabila bertindak menulis surat tanpa nama yang mendedahkan dakwaan rasuah dalam badan kehakiman, campur tangan eksekutif serta manipulasi pelantikan hakim pada akhir 1990-an.
"Dalam suasana ketika ramai memilih berdiam diri, beliau tampil mempertahankan integriti institusi kehakiman dengan penuh tanggungjawab namun tindakan tersebut menyebabkan Syed Ahmad Idid ditekan hingga dipaksa meletakkan jawatan," katanya.
Ujar mereka, kerajaan tidak boleh terus bercakap tentang reformasi dan ketelusan jika terus membiarkan pengorbanan pihak yang memperjuangkan keadilan dilupakan.
"Hari ini, dengan adanya kerajaan baharu yang mendakwa memperjuangkan reformasi, keadilan dan integriti institusi, sudah tiba masanya untuk memperbetulkan kesalahan sejarah.
"Negara tidak boleh mara ke hadapan dengan penuh keikhlasan jika terus menafikan pengorbanan mereka yang berjuang demi hati nurani negara," katanya.
Mohd Azmi, Ahmad dan Abdul Ghani turut berpendapat kerajaan perlu mengembalikan kedudukan dan reputasi Syed Ahmad Idid sebagai seorang hakim yang berprinsip dan berintegriti.
"Legasi Syed Ahmad Idid perlu dipulihkan bukan ditinggalkan di arkib yang dilupakan," katanya.
Selain itu mereka menuntut supaya kerajaan memberi pampasan setimpal atas kerugian profesional, emosi dan reputasi yang ditanggung Syed Ahmad Idid termasuklah menamakan anugerah atau institusi sempena nama beliau sebagai legasi keberanian kehakiman.
"Suruhanjaya Menyemak Semula Rasuah Kehakiman Lampau perlu ditubuhkan bagi menyemak semula dakwaan yang dinyatakan dalam surat beliau serta mendokumentasikan kebenaran untuk rekod awam," katanya.
Syed Ahmad Idid menerusi laporan eksklusif yang disiarkan akhbar ini pada Rabu mendakwa tidak menerima semua keistimewaan sebagai penjawat awam termasuk bayaran pencen selepas beliau dipaksa meletakkan jawatan kira-kira 30 tahun lalu.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian ‘harga’ yang terpaksa dibayar untuk sebuah integriti berikutan tindakannya menulis sepucuk surat pada tahun 1996 bagi mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan badan kehakiman di Malaysia pada ketika itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

