RUU Kebebasan Maklumat dibentang sebelum akhir tahun ini - PM

Anwar ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini pada Selasa.
Anwar ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat bagi memperkukuh ketelusan dan memberi akses sebenar kepada rakyat dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah reformasi tersebut secara tidak langsung mencerminkan pendekatan menyeluruh dan tekad kerajaan untuk membina institusi lebih kukuh, adil serta telus demi perkhidmatan dengan penuh integriti.

"Ini adalah langkah penting dalam membina kepercayaan awam dan menggalakkan penyertaan rakyat yang bermaklumat dalam sistem demokrasi kita.

“Undang-undang ini akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini supaya rakyat dapat menilai dan memegang kami lebih ‘accountable’ (lebih bertanggungjawab),” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, kerajaan kini dalam usaha meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang turut dijangka dibentang akhir tahun ini.

Menurut Anwar, ia bertujuan menyediakan perlindungan lebih menyeluruh antaranya dengan memansuhkan pengecualian terdahulu yang mengehadkan perlindungan.

"Selain itu sebuah Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang bebas akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan itu lebih berkesan," jelasnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Rakyat pada sesi Julai ini manakala Akta Kebebasan Maklumat pada sesi Oktober depan.

"Kita harap (selesai) pada sesi Parlimen akan datang jika sesi kali ini tidak sempat. Insya-ALLAH sesi Oktober nanti akan dibentangkan. Semuanya berjalan dengan baik dan mengikut perancangan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memang berharap ia dapat dilaksanakan sebab alau kita mahu laksanakannya, kita kena panggil semua pihak, daripada badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat (CSO) termasuklah parti-parti politik untuk terlibat.

“Kita akan lihat juga pandangan daripada jabatan-jabatan kerajaan kerana peranan Ombudsman adalah satu perkara yang akan ambil alih fungsi Biro Pengaduan Awam,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!