Tidak puas hati punca penuntut wanita dikelar bekas kekasih

Mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
A
A
A

SUBANG JAYA - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang wanita dikelar oleh bekas teman lelakinya dalam kejadian di sebuah universiti swasta di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan bekas teman wanitanya itu.

“Suspek dipercayai marah kerana mendakwa bekas teman wanitanya telah menipu dengan mengatakan bahawa suspek menghalangnya daripada keluar dari rumah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca lain yang mungkin berkaitan dengan kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

“Jumlah saksi bagi siasatan kes ini masih dalam tindakan pegawai penyiasat.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seorang penuntut sebuah universiti swasta di sini cedera parah selepas dikelar pada bahagian leher dalam kejadian di kampus berkenaan.

Mangsa yang juga merupakan penuntut warga asing berusia 20 tahun dikelar menggunakan pisau, dipercayai oleh bekas teman lelakinya yang juga penuntut di universiti sama.

Artikel Berkaitan:

Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!