Tak puas hati campuri masalah keluarga punca Shila Amzah diserang - Polis

RASA tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga dipercayai punca selebriti Shila Amzah diherdik oleh seorang penyanyi legenda tempatan ketika sesi latihan konsert di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini, empat individu sudah dirakam percakapan termasuk saksi di lokasi kejadian.
“Penyanyi yang dikaitkan dalam kejadian ini juga sudah dirakam keterangan.
“Siasatan kita mendapati punca kejadian ini adalah rasa tidak puas hati penyanyi berkenaan terhadap pengadu yang mencampuri masalah keluarganya,” katanya pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohamed Usuf mengesahkan tiada laporan tambahan diterima daripada mana-mana pihak lain selain laporan oleh pengadu berkaitan insiden ini.
Sebelum ini, Shila memuat naik hantaran di akaun Instagramnya meluahkan rasa kecewa dan trauma dengan kejadian yang berlaku secara terbuka di hadapan kru produksi ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR DIY yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
