Penuntut universiti parah dikelar bekas teman lelaki

SUBANG JAYA - Seorang penuntut sebuah universiti swasta di sini cedera parah selepas dikelar pada bahagian leher dalam kejadian di pusat pengajian tinggi berkenaan, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa yang juga penuntut warga asing berusia 20 tahun dikelar dengan pisau.
"Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.30 petang, seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun telah mencederakan bekas teman wanitanya.
"Suspek telah ditahan sejurus kejadian berlaku dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Azlan berkata, mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
"Mangsa ditempatkan di Zon Merah dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 bagi membantu siasatan dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
