Konflik Ukraine: Trump beri tempoh 50 hari kepada Rusia

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin mengumumkan pelan baharu yang akan mempercepat penghantaran senjata kepada Ukraine melalui negara-negara Eropah, sambil memberi amaran tegas kepada Rusia agar mencapai perjanjian damai dalam tempoh 50 hari atau bakal berdepan tarif dan sekatan perdagangan yang berat.
Langkah ini menandakan perubahan ketara dalam pendekatan Trump terhadap konflik Ukraine-Rusia selepas sebelum ini beliau dilihat cuba menjauhkan diri daripada isu itu sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.
“Saya rasa kami sudah hampir capai perjanjian sebanyak empat kali tetapi semuanya berakhir begitu sahaja,” kata Trump menerusi sidang media bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte di Pejabat Oval.
Trump menjelaskan bahawa negara-negara Eropah seperti Jerman, Finland, Denmark, Sweden dan Norway akan membeli senjata dari Amerika Syarikat dan menyalurkannya terus kepada Ukraine termasuk sistem pertahanan udara Patriot yang menjadi permintaan utama Kyiv.
Trump turut memberi tempoh 50 hari kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menamatkan perang atau berdepan tarif perdagangan sehingga 100 peratus dan sekatan sekunder terhadap negara yang membeli minyak Rusia termasuk India dan China.
“Saya gunakan perdagangan untuk banyak perkara, tapi ini yang paling sesuai untuk hentikan perang,” kata Trump.
Trump menyatakan rasa kecewa terhadap Putin dan menuduh pemimpin Rusia itu tidak menghormati usahanya untuk mencapai damai.
“Perbualan saya dengannya sangat mesra, tapi kemudian peluru berpandu dilancarkan pada waktu malam,” ujar Trump, sambil menafikan beliau ditipu seperti bekas presiden AS lain.
Menurut Duta AS ke NATO, Matt Whitaker, tarif itu bakal memberi kesan besar kepada ekonomi Rusia kerana melibatkan sekatan terhadap negara pembeli minyaknya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyambut baik pengumuman Trump dan menyatakan beliau mengadakan “perbualan sangat baik” dengan Trump dan akan terus berhubung dengannya.
“Ukraine bersedia untuk semua langkah jujur dan berkesan ke arah keamanan – tetapi Rusia yang tidak bersedia. Rusia perlu dipaksa, dan inilah yang sedang berlaku,” tulis Zelensky di X.
Pelan ini juga dirangka agar Trump tidak dilihat melanggar janji kempennya untuk mengurangkan penglibatan AS dalam perang. Dengan menjual senjata kepada sekutu Eropah – bukan terus ke Ukraine – Trump dapat mengekalkan imejnya sambil menjana pendapatan besar kepada AS. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

