Anwar beri tempoh sebulan Felda kemuka pelan hala tuju baharu

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengemukakan pelan tindakan baharu bagi menentukan hala tuju badan berkenaan agar lebih berdaya saing.
Menurutnya, Felda tidak boleh kekal dalam bentuk dan kaedah hala tuju sedia ada, sebaliknya ia perlu diubah bagi memastikan entiti itu mampu terus kekal dan memperoleh keuntungan pada masa depan.
"Dalam keadaan geopolitik tidak menentu ini, kita harus siapkan diri untuk berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar.
"Saya beri tempoh satu bulan untuk pengurusan (kemukakan pelan hala tuju)... saya akan pastikan seluruh kekuatan dan jentera daripada kerajaan, Kementerian Kewangan dan pakar-pakar lain untuk memastikan bahawa kita puas hati dengan pendekatan, hala tuju baharu dalam masa singkat ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri dan warga Felda di Menara Felda, di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Waikah Pelantikan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) sebagai agen tunggal pembelian buah sawit, disaksikan oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata, kerajaan sedia meneruskan suntikan dana selagi Felda diyakini mampu terus diperkasakan.
"Kerajaan seperti mana semu sudah tahu, beri suntikan RM1 bilion setahun. Kita mahu lakukan (beri suntikan dana) asalkan kita yakin bahawa pendekatan dan hala tuju mampu menyelamatkan bukan sahaja gedung Felda ini tetapi peneroka di masa hadapan," katanya.
Tambah Anwar lagi, beliau juga telah berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan nilai eksport produk sawit ke luar negara menerusi beberapa siri lawatan sebelum ini.
"Asalkan kita yakin mampu selamatkan Felda dan peneroka dengan beberapa langkah di ladang, pemasaran dan eksport, maka itulah antara kerja kita.
"Malah saya berbincang dengan Presiden China Xi Jiping untuk mengimport sawit dari Malaysia. Saya juga minta Arab Saudi untuk pertingkatkan jumlah import sawit kita juga.
"Apabila permintaan naik harga juga naik. Jadi itu tugas dan pimpinan kerajaan iaitu menambah baik permintaan,"jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!