Majlis Raja-Raja dijangka umum pelantikan Ketua Hakim baharu esok

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Majlis Raja-Raja dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu pada Rabu susulan perbincangan tertutup bersama pemimpin tertinggi kerajaan pada pagi Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut diyakini mampu menepis persepsi negatif berkaitan isu kebebasan kehakiman serta dakwaan pelantikan individu yang dipersoalkan ke jawatan tertinggi badan itu.
"Pagi ini saya sudah berbincang panjang dengan Majlis Raja-Raja dan saya fikir biarlah mereka yang membuat keputusan dan esok, mudah-mudahan akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif terbabit.
"Insya-ALLAH apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani benar-benar komited kepada reformasi termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman," katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Tadbir Urus dan Integriti 2025 di sini pada Selasa.
Dalam pada itu Anwar mengakui wujud kebimbangan dalam isu berkenaan sehingga timbul persepsi kononnya beberapa pelantikan ke jawatan penting dalam institusi kehakiman mungkin terjejas.
Oleh yang demikian beliau memberi jaminan bahawa perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.
"(Datuk Seri) Azalina tahu perkara sebenar, Ketua Setiausaha Negara juga tahu fakta bahawa tiada sebarang kes atau nama yang dipersoalkan atau dianggap kontroversi pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
"Soal persepsi biarlah jadi urusan ahli politik dan hanya dengan cara itu kita boleh terus mentadbir dengan baik.
"Saya harap ia tidak menjejaskan pendirian Majlis Peguam kerana itulah yang mereka percaya.
"Saya pasti rakan-rakan saya dalam bidang perundangan menghormati hakikat bahawa kita mesti bekerja berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan persepsi," ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
