Majlis Benih Negara bakal dilancar tangani isu monopoli, kawalan sistematik

Mohamad memeriksa varieti padi baharu Clearfield MR CL3 dan MR CL4 pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi tersebut, di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd, FELCRA Seberang Perak, pada Isnin. Foto Bernama
Mohamad memeriksa varieti padi baharu Clearfield MR CL3 dan MR CL4 pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi tersebut, di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd, FELCRA Seberang Perak, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PASIR SALAK - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini dalam peringkat akhir untuk melancarkan Majlis Benih Negara, sebuah badan penyelaras baharu yang bakal menjadi institusi penting dalam kawal selia industri benih negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penubuhan majlis itu bertujuan mengelakkan industri benih daripada dimonopoli mana-mana syarikat atau negara luar, di samping memastikan kawalan sistematik terhadap penghasilan, penyimpanan dan penyelidikan benih di Malaysia.

“Soal benih adalah isu yang cukup penting. Kita tidak mahu ia dimonopoli oleh mana-mana pihak.

"Sebab itu di peringkat kementerian kita wujudkan Majlis Benih Negara untuk mengurus dan mengawal benih-benih sama ada bersifat tumbuhan atau ternakan secara lebih tertib," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Seberang Perak di sini pada Isnin.

Mohamad berkata, salah satu fungsi utama majlis berkenaan ialah mewujudkan sistem repositori atau pusat penyimpanan rasmi bagi semua jenis benih pertanian dan ternakan tempatan.

"Kalau berlaku apa-apa krisis, kita ada simpanan dan data lengkap benih dalam negara yang boleh digunakan untuk menghasilkan semula benih-benih pada masa depan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penambahan kuota bekalan beras kepada pengilang termasuk Bumiputera akan dilaksanakan melihat kepada keupayaan kilang.

Jelas beliau, sekiranya pengilang mampu menghasilkan jumlah padi lebih banyak pihaknya berusaha untuk membantu bagi menambah kuota bekalan beras tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kuota ini (bergantung) kepada keupayaan. Kita lihat kalau Bumiputera itu kilangnya ada keupayaan, kita akan berusaha membantu.

“Kalau tiada keupayaan langsung, itu memang agak sukarlah. Dalam hal ini, kita tak boleh bergantung soal kuota semata-mata, kena lihat kuota dan keupayaan. Itu yang paling penting dan kerajaan sentiasa membantu,” katanya.

Rabu lalu, media melaporkan, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun akan memohon kepada KPKM untuk menambah bekalan beras khususnya pengilang Bumiputera.

Langkah itu penting bagi memastikan pengilang besar dan kecil dapat bekerjasama dalam memulihkan industri beras serta menjamin bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!