Kerajaan perlu segera tangani isu laluan sehala pekan Tapah


TAPAH - Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan mahu kerajaan menyegerakan tindakan bagi menyelesaikan sistem penyuaraian baharu aliran trafik satu hala di bandar Tapah di sini.
Beliau berkata, sistem baharu yang dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu itu masih menjadi rungutan orang ramai terutama peniaga.
"Isu ini saya lihat masih belum ada penyelesaiannya.
"Saya perlukan kerajaan negeri dan Pusat mengkaji serta meneliti secara mendalam, cara terbaik untuk mengurangkannya.
"Memanglah apa yang dilakukan ketika ini telah membantu menangani kesesakan lalu lintas, tetapi peniaga-peniaga di sini berasa terkesan kerana telah menjejaskan pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Tapah di sini pada Khamis.
Timbalan Presiden MIC itu berkata, masalah laluan itu dijangka menjadi antara isu yang kerap dibangkitkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, April depan.
"Saya telah membawa perkara ini kepada perhatian menteri berkenaan dan saya yakin mereka akan cari penyelesaian terbaik.
"Saya kena rekod sebab masih ramai lagi yang tidak berpuas hati mengenai isu lalu lintas ini," katanya.
Dalam majlis itu, sebanyak 19 masjid dan 91 surau telah menerima agihan sumbangan RM1,000 dan RM500 membabitkan jumlah keseluruhan RM64,500.
"Ini memang sumbangan tahunan. Ada jawatan kerajaan atau tidak, kita tetap teruskan. Jadi janganlah sebut sebab pilihan raya (PRK)," kata Saravanan.
Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Kerja Raya meluluskan RM2.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di kawasan itu agar lebih terurus dan tidak membahayakan pengguna.
Perolehan baharu pelan jangka panjang bagi membina jambatan dan laluan pintasan sepanjang 200 meter dengan kos RM17 juta pula akan dinilai semula.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengubah haluan jalan sepanjang 1.5 kilometer telah menyulitkan pengguna serta peniaga dan penjaja kecil di sepanjang laluan berkenaan.
Kesulitan timbul apabila ruang parkir berkurang dan laluan tidak mesra buat pejalan kaki kerana kenderaan dipandu laju selain faktor keselamatan apabila kenderaan berat terpaksa membuat pusingan di selekoh berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

