Beku aset jika culas bayar nafkah anak

JIKA ada sesetengah kaum lelaki yang berpendapat bahawa penceraian itu jalan mudah pintu untuk keluar daripada konflik rumah tangga, tidak mahu fikir berat-berat, dapat hidup bebas seperti zaman single, namun hakikatnya pandangan tersebut tidak benar.
Ini kerana apabila bercerai, ada perkara sangat penting yang harus diteruskan iaitu nafkah anak masih lagi menjadi tanggungjawab si bapa. Jangan fikir apabila lafaz cerai dilontarkan, maka tanggungjawab juga terlucut begitu sahaja.
Sebelum ini, mungkin ada yang mengambil mudah bab nafkah. Kadang-kadang bagi, kadang- kadang tidak. Malah mungkin ada yang tidak pernah memberi langsung kerana merasakan bukan tanggungjawabnya sepenuhnya lagi.
Namun, tanggapan seperti ini perlu diperbetulkan segera kerana ia melibatkan hak anak yang perlu meneruskan hidup ini.
Dengan penguatkuasaan undang-undang yang semakin tegas seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain, golongan bapa yang culas membayar nafkah anak akan berdepan dengan tindakan mahkamah. Langkah ini penting bagi memastikan golongan lelaki tidak lepas tangan selepas penceraian.
Antara pendekatan yang digunakan ialah sekatan terhadap sumber pendapatan, pemindahan tanggungan hutang melalui konsep hiwalah, serta pengubahsuaian pembayaran secara langsung melalui bank.
Jika masih berdegil, aset milik si bapa boleh dibekukan dan disalurkan terus kepada pihak yang sepatutnya iaitu anak-anak yang ditinggalkan tanpa pembelaan.
Inilah keadilan namanya. Anak-anak berhak mendapat keperluan asas mereka. Ibu yang menjaga mereka juga perlukan sokongan, bukan hanya moral tetapi juga kewangan.
Janganlah hanya kerana rumah tangga sudah berakhir, segala tanggungjawab juga mahu dilepaskan bulat-bulat kepada si ibu seorang diri.
Selama ini mungkin tidak ramai yang tahu bahawa sistem penguatkuasaan ini sudah lama wujud. Namun, ia kurang diberi perhatian. Dengan pelaksanaan yang lebih terbuka kini, diharap lebih ramai akan sedar dan mengambil berat.
Bercerai itu bukan noktah. Ia adalah permulaan kepada tanggungjawab baharu. Ingat, perceraian mungkin mengakhiri hubungan suami isteri, tetapi tidak pernah memutuskan tanggungjawab seorang ayah. Nafkah bukan ihsan, ia amanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
