Polis siasat dakwaan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bocor

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat laporan berkaitan pendedahan dan penyebaran disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurutnya, tumpuan siasatan adalah terhadap pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan juga di media sosial.
“PDRM akan memanggil semua saksi kompeten bagi membantu siasatan kes ini.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan apa-apa dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.
Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat tersebut.
Petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak Sabtu, dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum tular di Facebook dan aplikasi X.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata pihak berkuasa perlu menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat JAC yang tular di media sosial.
Fahmi berkata, sekiranya dokumen tersebut disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang, khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
