Polis siasat kemalangan motosikal PDRM tular

Tular video di media sosial menunjukkan kemalangan melibatkan motosikal PDRM dengan sebuah motosikal lain baru-baru ini. Gambar kecil: Wan Azlan
Tular video di media sosial menunjukkan kemalangan melibatkan motosikal PDRM dengan sebuah motosikal lain baru-baru ini. Gambar kecil: Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung kemalangan membabitkan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sebuah motosikal lain di Subang Kelana Jaya Link di sini, yang tular menerusi video di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada 10 Julai lalu kira-kira jam 6.50 petang.

Beliau berkata, video kejadian berdurasi 17 saat yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan itu telah dimuat naik ke satu laman Facebook.

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal BMW berlogo polis yang ditunggang anggota PDRM sedang berada di lorong kanan sebelum mengubah haluan ke lorong kiri dan bergesel dengan motosikal Honda ADV yang berada di lorong tengah.

"Akibat pergeseran itu, penunggang Honda ADV iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun telah terjatuh ke kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pihak polis turut mengambil maklum berhubung dakwaan dalam video tular tersebut yang menunjukkan motosikal BMW terbabit tidak berhenti di lokasi kejadian.

"Namun, hasil semakan terhadap rakaman penuh insiden itu menunjukkan anggota PDRM berkenaan yang sedang menjalankan tugas rasmi telah memberhentikan motosikal kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Anggota polis itu bersama orang awam juga membantu mangsa sehingga dia mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam," katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mendapatkan saksi bebas bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621," katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan kemalangan melibatkan motosikal PDRM dengan sebuah motosikal lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!