MBI nafi beri kelulusan acara tular di TikTok

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memberikan sebarang kebenaran kepada mana-mana individu atau penganjur berhubung satu acara kebudayaan dan makanan yang kini sedang dipromosikan secara meluas di platform TikTok.
MBI dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa promosi acara tersebut yang menggunakan nama pihak berkuasa tempatan itu disifatkan sebagai iklan palsu dan berunsur mengelirukan yang berpotensi memperdaya vendor serta orang awam.
"Tiada sebarang kebenaran diberikan kepada penganjur tersebut untuk mengadakan acara berkenaan di kawasan milik MBI.
"MBI tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang mungkin dialami oleh mana-mana pihak yang menerima tawaran atau menyertai acara yang diiklankan secara tidak sah itu," katanya.
Dalam kenyataan sama, MBI meminta semua pihak agar sentiasa merujuk kepada wakil rasmi majlis melalui saluran yang sahih untuk mendapatkan maklumat berkaitan mana-mana acara, aktiviti atau penggunaan premis yang melibatkan nama MBI.
Katanya, amaran keras turut dikeluarkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menggunakan nama, premis, atau kapasiti rasmi MBI tanpa kebenaran.
Terdahulu, tular di sebuah akaun TikTok kandungan bertajuk Ipoh Starlight Night Market Global Vendor Recruitment! yang bertujuan menarik penyertaan vendor ke acara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

