G25 desak reformasi segera Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

SHAH ALAM – Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) secara konsisten memperjuangkan kebebasan badan kehakiman sebagai tunjang kepada tadbir urus yang baik.
Kumpulan itu dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya percaya kebebasan berkenaan hanya dapat dijamin sekiranya pelantikan dan kenaikan pangkat hakim diselia oleh satu badan bebas daripada pengaruh eksekutif.
Menurutnya, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang diperkenalkan pada tahun 2009 melalui Akta JAC sepatutnya memainkan peranan tersebut.
“Walaupun ia pada awalnya berjaya meningkatkan persepsi awam terhadap integriti kehakiman, kebimbangan terus wujud sejak itu.
“Ini sebahagiannya berpunca daripada kuasa budi bicara Perdana Menteri untuk melantik lima daripada sembilan anggota JAC, yang bertentangan dengan prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya pada Jumaat.
Ujarnya, G25 berpendapat bahawa bagi menegakkan prinsip kebebasan kehakiman, Perdana Menteri tidak sepatutnya terlibat langsung dalam proses pelantikan hakim mahkamah atasan.
“Cadangan daripada JAC harus dikemukakan terus kepada Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja dan Seri Paduka Baginda hendaklah bertindak berdasarkan cadangan suruhanjaya tersebut.
“Sehubungan itu, reformasi segera terhadap struktur JAC amat diperlukan. Anggotanya perlu dilantik secara bebas oleh sebuah jawatankuasa bebas, komposisinya diperluaskan bagi mencerminkan pelbagai pandangan dan perbincangannya perlu dibuat lebih telus, contohnya melalui penerbitan ringkasan mesyuarat.
“Ia bagi menghilangkan keraguan berhubung kelewatan atau keputusan yang dibuat secara tertutup. Langkah-langkah ini akan memperkukuh kepercayaan awam dan ketidakberpihakan kehakiman,” katanya.
Tambahnya, G25 merayu kepada Majlis Raja-Raja selaku penjaga Perlembagaan dan keadilan negara agar menyeru kepada reformasi segera JAC serta proses pelantikan hakim mahkamah atasan.
“Kami menggesa kerajaan melaksanakan reformasi JAC selaras dengan cadangan Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang diadakan pada 30 November 2022 (New Straits Times, 30 November 2022), dan melaksanakan syor bahawa anggota JAC tidak lagi dilantik oleh Perdana Menteri.
“Dalam menjunjung prinsip Rukun Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, adalah penting untuk memastikan pelantikan kehakiman mencerminkan tahap tertinggi merit, profesionalisme dan kebebasan, tanpa sebarang pengaruh politik,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan turut menyatakan kebimbangan serius terhadap keputusan untuk tidak menyambung tempoh perkhidmatan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta mantan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

