KL masuki fasa masyarakat menua paling awal

PUTRAJAYA – Kuala Lumpur dijangka menjadi wilayah terawal di Malaysia mencapai kemuncak jumlah penduduk, iaitu seawal tahun 2031 dengan anggaran 2.087 juta orang, menjadikan ibu negara itu antara kawasan paling awal memasuki fasa masyarakat menua.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, fenomena ini mencerminkan perubahan demografi yang pantas di bandar raya tersebut, selari dengan tahap perbandaran yang hampir menyeluruh.
“Kuala Lumpur dijangka mencapai kemuncak penduduk lebih awal berbanding negeri-negeri lain disebabkan gaya hidup bandar yang pantas, perkahwinan lewat serta saiz isi rumah yang semakin kecil,” katanya sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kadar perbandaran di Kuala Lumpur kini hampir 100 peratus dan menjadikan corak kehidupan penduduknya berbeza berbanding negeri-negeri lain yang masih mengalami perbandaran secara perlahan.
“Di bandar, kehidupan sentiasa ‘on the move’. Ia mempengaruhi tahap kesuburan dan keputusan untuk berkahwin serta membina keluarga. Ini berbeza dengan negeri seperti Kelantan atau Terengganu yang masih mencatat kadar kelahiran tinggi kerana gaya hidup luar bandar lebih bertenang,” jelas beliau.
Ujar Mohd Uzir lagi, negeri-negeri yang lebih maju dan pesat membangun seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan trend peralihan demografi yang lebih cepat berbanding negeri lain.
“Kelahiran di Selangor rendah, manakala masih tinggi di Kelantan dan Terengganu. Kita boleh lihat di negeri yang gaya hidupnya menuntut lebih banyak masa, aktiviti harian juga lebih padat dan bergerak pantas,” ujarnya.
Beliau menambah, kehidupan bandar yang menuntut kecekapan masa turut memberi kesan kepada pola perkahwinan dan pembentukan keluarga.
“Secara umumnya, perbandaran membawa bersama ciri-ciri bandar seperti perkahwinan lewat dan jumlah isi rumah yang kecil,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan itu berbeza dengan negeri yang mempunyai kadar perbandaran rendah seperti Kelantan, Terengganu dan Sabah, di mana masyarakat masih menjalani gaya hidup luar bandar yang lebih santai.
“Contohnya, kadar perbandaran di Kelantan berada di bawah 50 peratus berbanding Selangor yang mencecah 97 peratus dan Pulau Pinang 99 peratus,” katanya.
Secara keseluruhan, Mohd Uzir menjelaskan bahawa penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak sebanyak 42.38 juta orang pada tahun 2059 sebelum menurun secara perlahan bermula 2060 kepada 42.37 juta orang dan seterusnya 42.08 juta orang pada 2065.
Menurutnya, walaupun jumlah penduduk dijangka terus meningkat dari tahun 2020 hingga 2059, kadar pertumbuhan akan menurun ketara daripada 1.7 peratus (2020) kepada hanya 0.1 peratus pada tahun 2060.
“Penduduk lelaki dan perempuan dijangka terus meningkat dari 2020 hingga 2060 dengan nisbah 114 lelaki bagi setiap 100 perempuan menjelang tahun 2060,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak anggapan bahawa pendapatan isi rumah merupakan satu-satunya faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran.
“Ramai cuba mengaitkan perkahwinan dan bilangan anak dengan pendapatan isi rumah, namun ia tidak semestinya tepat. Ada juga yang berpendapatan rendah tetapi mampu membela kucing, walaupun kos penjagaan dan makanan haiwan itu tinggi,” katanya berseloroh.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia perlu bersedia menghadapi era masyarakat menua dengan menyediakan sistem sokongan sosial dan infrastruktur yang bersesuaian.
“Apabila kita sampai ke fasa tersebut, cara menguruskan komunikasi sosial negara dan peranan pelbagai agensi juga perlu berubah, agar kita lebih menyantuni warga emas,” katanya.
Tambah Mohd Uzir, nilai kekeluargaan dan jati diri dalam kalangan generasi muda perlu diperkukuh dari sekarang.
“Macam apa yang kita tanam, itulah yang akan tumbuh. Jadi, menjadi tanggungjawab bersama untuk membentuk jati diri dan membangunkan nilai-nilai murni secara berterusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
