Kes keracunan makanan di kolej: Premis pengendali makanan ditutup

Laporan Sinar Harian mengenai kes keracunan makanan di sebuah kolej akibat gulai ayam. Gambar kecil: Hilmi
Laporan Sinar Harian mengenai kes keracunan makanan di sebuah kolej akibat gulai ayam. Gambar kecil: Hilmi
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah mangsa keracunan makanan di sebuah kolej di sini meningkat kepada 427 kes setakat Khamis.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memaklumkan bahawa premis penyediaan makanan telah ditutup di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] pada Rabu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, sehingga jam 4 petang Khamis, terdapat pertambahan sebanyak 84 kes baharu.

"Daripada jumlah itu, 27 kes dirawat sebagai pesakit luar, manakala 57 kes tidak mendapatkan rawatan.

"Tiga kes yang sebelum ini dimasukkan ke wad juga telah dibenarkan pulang. Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut beliau, kejadian keracunan makanan tersebut berada dalam keadaan terkawal.

Ujarnya, siasatan awal mendapati makanan yang disyaki menjadi punca ialah menu ayam gulai yang menunjukkan perubahan bau dan rasa, dengan kadar serangan makanan sebanyak 64 peratus.

"Walaubagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu.

"Pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis makanan yang terlibat, dan seramai lapan orang pengendali makanan telah ditemui," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Hilmi turut memaklumkan bahawa aktiviti pensampelan telah dijalankan dengan jumlah keseluruhan 47 sampel yang diambil, merangkumi 31 sampel klinikal pesakit, tujuh sampel makanan, empat sampel persekitaran, empat sampel pengendali makanan, dan satu sampel air untuk tujuan analisis makmal.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa seramai 343 individu terdiri daripada pelajar baharu, ahli jawatankuasa dan kakitangan orientasi sebuah kolej mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan makan malam pada hari Selasa.

Difahamkan, makanan tersebut disediakan oleh katerer luar.

Mangsa dilaporkan mengalami gejala seperti sakit perut (97.9 peratus), cirit-birit (82.2 peratus), pening (43.1 peratus), loya (35.8 peratus), muntah (9.6 peratus) dan demam (7.3 peratus).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!