Pelajar ada bukti nasi basi, ulat dalam makanan

KOTA BHARU - Pelajar di sebuah kolej swasta di sini mendakwa ada nasi basi dan ulat dalam makanan yang menyebabkan 343 individu dilaporkan mengalami keracunan makanan.
Menurut Mohd Irman Adly, 20-an, dakwaan itu berasas apabila pelajar terlibat mempunyai bukti.
"Saya bersyukur kerana tidak menjamah makanan yang dikatakan penyebab kepada masalah berkenaan.
"Selain pelajar, turut mengalami sakit yang sama adalah beberapa rakan tahun satu yang menjadi fasilitator," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Mohd Irman yang juga fasilitator program orientasi pelajar baru memberitahu, ramai yang sakit perut, muntah dan pening kepala terpaksa dibawa ke hospital atau klinik kesihatan.
Ujarnya, situasi itu adalah pertama kali berlaku membabitkan lebih 100 pelajar hingga menyebabkan program orientasi terpaksa dihentikan.
Sinar Harian Online melaporkan gara-gara gulai ayam seramai 343 individu dalam kalangan pelajar kemasukan baru, ahli jawatankuasa dan kakitangan orientasi sebuah kolej mengalami keracunan makanan pada Rabu.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, mangsa menikmati hidangan tersebut semasa makan malam pada hari Selasa.
Menurut beliau, organisma yang disyaki adalah Salmonella Spp dan makanan disediakan oleh katerer luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

