Mulanya berhutang, akhirnya jadi muflis

PERINTAH muflis yang dikeluarkan oleh mahkamah bukan sekadar menandakan kegagalan seseorang membayar hutang, sebaliknya membawa kesan menyeluruh terhadap kehidupan individu terbabit, baik dari sudut kewangan, sosial mahupun undang-undang.
Isu pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie yang diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) kerana gagal menjelaskan pinjaman melebihi RM5 juta, membuka mata banyak pihak mengenai implikasi serius status muflis di negara ini.
Hakikatnya, seseorang boleh dikenakan perintah muflis sekiranya gagal membayar hutang melebihi RM100,000 seperti diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2017).
Ia berdasarkan petisyen yang difailkan oleh pemiutang, termasuk bank, syarikat, agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), atau individu lain selepas memperoleh penghakiman mahkamah.
Dengan kata lain, seseorang boleh dikenakan perintah muflis apabila gagal membayar pinjaman, kad kredit atau sewa beli, termasuk menjadi penjamin kepada individu atau syarikat yang gagal melunaskan hutang serta mempunyai tunggakan cukai pendapatan.
Turut menyumbang kepada kebankrapan ialah kegagalan dalam perniagaan, gaya hidup melebihi kemampuan, serta urus kewangan peribadi yang lemah.
Secara umum, individu yang diisytihar muflis akan berdepan sekatan perjalanan ke luar negara, pembekuan akaun bank, serta larangan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat atau menjalankan perniagaan atas nama sendiri.
Bukan itu sahaja, semua aset pemiliknya boleh diambil alih dan dilupuskan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tujuan penyelesaian hutang terbabit.
Mereka juga diwajibkan menyerahkan penyata harta, memaklumkan sebarang perubahan alamat dan pekerjaan, serta bekerjasama penuh dengan pihak Insolvensi sepanjang tempoh pengurusan muflis.
Sebarang pelanggaran syarat boleh membawa kepada tindakan undang-undang lanjut, termasuk hukuman penjara.
Pelbagai akta memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan berkaitan muflis dan pengurusan kewangan secara tidak sah.
Di bawah Akta Insolvensi 1967, individu yang gagal menyerahkan aset, memberi maklumat palsu atau tidak bekerjasama dengan Ketua Pengarah Insolvensi boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sementara mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, ia memperuntukkan denda sehingga RM20,000, penjara maksimum tiga tahun dan penalti tiga kali ganda cukai tertunggak bagi mereka yang sengaja mengelak cukai.
Bagi kes menyembunyikan aset atau penipuan pinjaman, individu boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 420 kerana menipu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat.
Pengarah syarikat yang muflis pula boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Syarikat 2016.
Jika ada individu yang cuba menyembunyikan aset, memindahkan harta atau membuat pinjaman tanpa memaklumkan status muflis, tindakan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
Meskipun proses pelepasan daripada status muflis boleh dimohon selepas lima tahun, ia hanya diluluskan jika tiada bantahan pemiutang dan individu berkenaan menunjukkan kerjasama yang baik.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar mengurus kewangan dengan cermat, tidak berhutang melebihi kemampuan serta berhati-hati sebelum menjadi penjamin kepada sesiapa.
Langkah berwaspada ini amat penting bagi mengelakkan kesan jangka panjang yang bukan sahaja boleh menjejaskan kestabilan kewangan, malah turut memberi tekanan emosi dan menggugat keseluruhan kehidupan seseorang sekiranya terpaksa menanggung beban hutang yang tidak mampu dilunaskan.
* Noor Azlida Alimin ialah Wartawan Jenayah/Mahkamah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

