Larangan guna lebuh raya pengajaran buat penunggang basikal

BARU-baru ini, tular satu video memaparkan pertelingkahan antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas yang dipercayai berkaitan insiden menghalang laluan di Kuala Selangor.
Pertelingkahan dipercayai bermula apabila penunggang basikal mendakwa bas itu dipandu terlalu dekat hingga hampir melanggar mereka.
Namun, tindakan kumpulan tersebut turut dipersoalkan kerana didapati menutup laluan trafik, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Tiada siapa mempertikaikan bahawa berbasikal ialah satu hobi yang menyihatkan malah, ia turut menyumbang kepada pengurangan pencemaran dan menggalakkan gaya hidup aktif.
Bagaimanapun, pengguna jalan raya, khususnya penunggang basikal, perlu menyedari bahawa tidak semua jalan sesuai untuk aktiviti berbasikal.
Apabila penunggang basikal berada di laluan sempit, sibuk dan berbahaya seperti lebuh raya, risiko terhadap keselamatan mereka serta pengguna lain meningkat dengan ketara.
Jalan raya lebih-lebih lagi laluan utama seperti lebuh raya direka bentuk untuk pergerakan laju dan kenderaan berat.
Larangan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, yang memaklumkan bahawa penunggang basikal dilarang menggunakan laluan lebuh raya di negara ini, kerana ia merupakan laluan khas untuk kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal.
Beliau berkata, larangan itu bertujuan menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya serta mematuhi peraturan sedia ada.
Sekiranya dilanggar, penunggang basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, amat penting untuk semua pihak, terutama komuniti pengayuh basikal, memahami batas dan tanggungjawab mereka di atas jalan raya, bersesuaian dengan aktiviti dan lokasi berbasikal.
Kita tidak mahu hobi sihat seperti berbasikal akhirnya dipandang serong hanya kerana tindakan segelintir individu yang mementingkan diri sendiri.
Sikap tidak peduli sebegini bukan sahaja mencemarkan nama baik komuniti pengayuh, malah mewujudkan jurang antara pengguna jalan raya yang seharusnya saling menghormati dan bertimbang rasa.
Seelok-eloknya, biarlah setiap aktiviti yang kita lakukan termasuk hobi dan gaya hidup membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang di sekeliling kita.
Keseronokan tidak wajar dicapai dengan mengorbankan keselamatan atau keselesaan orang lain.
Jadikan insiden ini sebagai pengajaran agar kita lebih peka, berhemah dan bertanggungjawab di jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

