ABIM gesa semua pihak junjung titah Istana Negara

Prinsip semak dan imbang merupakan lambang ketegasan institusi Raja Berperlembagaan.
Prinsip semak dan imbang merupakan lambang ketegasan institusi Raja Berperlembagaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak digesa menjunjung kasih titah Istana Negara dan semangat Perlembagaan dengan memastikan pelantikan hakim dilaksanakan secara profesional serta bebas daripada tekanan politik.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, titah berkenaan amat bertepatan dengan suasana semasa yang menyaksikan kegusaran masyarakat terhadap kemungkinan berlakunya campur tangan politik dalam sistem perundangan negara.

"Penegasan terhadap prinsip semak dan imbang merupakan lambang ketegasan institusi Raja Berperlembagaan dalam menjamin kebebasan badan kehakiman.

"ABIM percaya pemimpin yang memahami Perlembagaan dengan mendalam akan sentiasa menjunjung prinsip pemisahan kuasa dan menjauhi campur tangan politik dalam urusan badan kehakiman serta memastikan semua proses pelantikan dilaksanakan secara telus dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataannya berkata, pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah kenyataan itu, mengikut Perkara 1228 Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Ahmad Fahmi turut mengulangi pendirian bahawa sebarang pelantikan terutamanya bagi jawatan tertinggi kehakiman mestilah menepati kehendak Perlembagaan, mengutamakan merit dan kekananan serta mengelakkan sebarang bentuk konflik kepentingan.

"Sebarang usaha untuk mempolitikkan pelantikan hakim bukan sahaja mencemar keluhuran Perlembagaan, malah merosakkan keyakinan umum terhadap institusi keadilan," menurutnya.

Kata beliau, dalam semangat tersebut, ABIM menyambut baik titah Istana Negara yang menekankan agar pelantikan hakim tidak dipolitikkan dan hendaklah ditangani secara cermat serta berintegriti.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, titah itu merupakan garis panduan moral dan perlembagaan amat penting dalam memastikan kebebasan dan integriti institusi kehakiman negara terus terpelihara.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi turut menggesa supaya kerajaan terus komited kepada prinsip reformasi institusi, termasuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

"Antara lain, institusi Parlimen digerakkan untuk meneliti semula mekanisme pelantikan hakim, agar lebih telus, demokratik dan selari dengan prinsip pemisahan kuasa dalam sistem Raja Berperlembagaan," ujarnya lagi.

Beliau menambah, semua pelantikan hakim dibuat berasaskan integriti, kekananan serta kelayakan profesional demi menegakkan keadilan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!