Noor Azmi ambil alih Jawatankuasa Kerja Bersama Covid-19

Noor Azmi
Noor Azmi
A
A
A

BAGAN SERAI - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan mengambil alih Jawatankuasa Kerja Bersama bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) antara Malaysia dan Singapura yang sebelum ini diterajui Dr Lee Boon Chye.

Noor Azmi berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan bagi berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan Covid-19 itu perlu diteruskan agar penularannya dapat ditangani secara berkesan.

"Pada pentadbiran dahulu, jawatankuasa ini memang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri (Kesihatan), oleh kerana kerajaan sudah berubah sayalah perlu ambil alih.

"Semalam saya dipanggil dan diberitahu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk ambil alih jawatankuasa berkenaan," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.

Noor Azmi (dua dari kiri) pada sidang media hari ini.
Noor Azmi (dua dari kiri) pada sidang media hari ini.

Menurutnya, mesyuarat terawal jawatankuasa itu dijadualkan diadakan pada awal bulan depan di Singapura.

"Saya telah dimaklumkan untuk hadir dalam mesyuarat itu, namun saya difahamkan dalam tempoh terdekat ini, Menteri Kesihatan Singapura akan berhubung dengan Yang Berhormat Menteri kita untuk mendapatkan status terkini Covid-19 di kedua-dua negara," katanya.

Februari lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama.

Artikel Berkaitan:

Antara fokus kerjasama dua hala berkenaan termasuklah saringan dan pengurusan kes rentas sempadan antara kedua-dua negara serta penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat antiviral kepada pesakit yang disahkan positif.

Mengulas mengenai penambahan kes Covid-19 di negara ini, Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, Kementerian Kesihatan buat masa ini tidak bercadang untuk memberi maklumat terperinci berkaitan pesakit.

“Adalah lebih baik kita tunggu laporan harian daripada pihak kementerian dan saya syorkan lihat pada status terkini dibuat kementerian, jangan dengar daripada orang lain.

“Sekarang ni zaman media sosial, jadi hati-hati dengan berita palsu, kadang-kadang maklumat nampak macam betul tapi sebenarnya palsu, perkara ini dikatakan sebagai ‘tabayyun’, jadi perlu semak terlebih dahulu," katanya.

Semalam, sebanyak 39 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan sekali gus mencatatkan peningkatan terbesar di negara ini dan daripada jumlah itu, dua kes direkodkan di Perak.