Ulama terkemuka Syiah ditembak mati

BEIRUT - Seorang ulama Syiah berpengaruh di Syria, Sheikh Rassul Shahud ditembak mati di tengah negara itu, menurut badan pemantau pada Khamis.
Insiden tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan golongan minoriti agama dan etnik di negara bergolak itu.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain, mayat mangsa yang dipenuhi kesan tembakan ditemui pada Rabu berhampiran bandar Homs, Syria.
"Sheikh Rassul diserang lelaki bersenjata ketika berada dalam kereta berdekatan pos kawalan pasukan keselamatan menuju ke kampungnya di Mazraa," kata kenyataan SOHR yang bergantung kepada rangkaian sumber dalam negara itu.
Sheikh Rassul merupakan pemimpin Syiah pertama yang terbunuh sejak kerajaan pimpinan Bashar al-Assad digulingkan oleh kumpulan Islamis Sunni pada Disember lalu.
Majlis Ulama Syiah Syria mengecam pembunuhan itu sebagai "serangan terang-terangan terhadap suara kesederhanaan dan perpaduan", serta menyifatkannya sebagai cubaan jahat menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Naib Presiden majlis tersebut, Adham al-Khatib dalam kenyataannya menyeru pihak berkuasa menyiasat insiden itu secara menyeluruh dan mendakwa pelaku serta dalang jenayah tersebut.
Komuniti Syiah di Syria dianggarkan berjumlah sekitar 300,000 orang dan merupakan kumpulan minoriti dalam negara majoriti Sunni itu.
Selepas kejatuhan rejim Assad, komuniti Syiah dilaporkan segera menyatakan sokongan kepada pentadbiran baharu, termasuk pertemuan beberapa tokoh mereka dengan Presiden sementara, Ahmed al-Sharaa pada Mac lalu.
Pembunuhan Sheikh Rassul berlaku di tengah-tengah beberapa insiden serangan ke atas golongan minoriti lain, termasuk pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Alawit di kawasan pantai, pertempuran dengan masyarakat Druze di selatan, serta kejadian pengeboman bunuh diri di sebuah gereja Ortodoks di Damsyik. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
