Tanah perkuburan Balok mendap, undang risiko kepada pelawat

Adi Akbar menunjukkan tompokan lubang di kawasan kubur yang berlaku setiap kali musim hujan. Foto Sinar Harian
Adi Akbar menunjukkan tompokan lubang di kawasan kubur yang berlaku setiap kali musim hujan. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN – Tanah Perkuburan Balok di sini menjadi ‘zon bahaya’ setiap kali musim hujan apabila tanah di kawasan itu mendap dan menjadi lembut sehingga mengundang risiko kepada pelawat.

Masalah di tanah perkuburan wakaf itu dikesan sejak 10 tahun lalu, namun keadaan dilaporkan semakin membimbangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Balok, Mansor Mokhtar berkata, kawasan tanah perkuburan berkenaan terletak di atas laluan air bawah tanah menyebabkan tanah mudah mendap sehingga berlaku kejadian tanah jerlus.


Mansor (kiri) memaklumkan tanah jerlus di tanah perkuburan wakaf itu dikesan sejak 10 tahun lalu.
Mansor (kiri) memaklumkan tanah jerlus di tanah perkuburan wakaf itu dikesan sejak 10 tahun lalu.

“Sebenarnya kalau bukan musim hujan, jenazah yang kita kebumikan sebelum itu tanahnya tidak terus mendap, tetapi bila hujan turun akan ada aliran air dan masa itu barulah terbentuk tompokan lubang di kawasan kubur.

“Setiap kali musim hujan, terutama bulan Disember hingga Januari, air akan memenuhi kawasan ini sehingga paras satu kaki pun ada.

"Jadi timbullah tanah jerlus (mendap) yang pernah tular di TikTok sebelum ini, tetapi ia bukan berlaku sepanjang masa, cuma pada musim hujan saja,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Balok pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mansor
.
Mansor .

Menurutnya, pihaknya pernah mendapatkan pandangan pihak agama berhubung kaedah pengebumian di kawasan tersebut, terutama pada musim hujan.

Beliau berkata, kedalaman liang lahad juga terpaksa diubah suai demi keselamatan penggali kubur.

“Sepatutnya kita gali sedalam kira-kira dua meter (tujuh kaki), tetapi pada musim hujan kita hanya dapat gali sekitar 1.2 meter (empat kaki) sahaja.

“Pihak agama maklumkan, kedalaman standard itu tidak wajib dipatuhi kerana keadaan tanah di sini dianggap darurat.

“Bila musim hujan, kita tak boleh gali terlalu dalam sebab tanah akan mudah rebah dan itu masalah kita setiap musim hujan,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, tanah perkuburan seluas hampir 2.7 hektar yang diwakafkan individu sejak dulu hanya berbaki kira-kira 20 hingga 25 peratus sahaja ruang pengebumian.

Ujarnya, pihaknya sudah memohon tanah baharu daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

"Alhamdulillah, permohonan diluluskan seluas hampir dua hektar di bawah pengurusan MUIP tapi geran tanah belum dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tanah Perkuburan Balok, Abdul Latiff Ali, 73, berkata, keadaan tanah jerlus di kawasan itu berisiko kepada pelawat kerana pernah berlaku kejadian individu tenggelam sehingga paras paha.

Abdul Latiff.
Abdul Latiff.

Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, pihak pengurusan menanda kawasan terlibat dengan tali merah setiap kali musim hujan sebagai amaran.

“Kadang-kadang orang tidak perasan, tiba-tiba jerlus macam perangkap... kalau mereka datang seorang diri, bahaya juga sebab tiada siapa nampak.

“Tapi sekarang musim panas, tanah kering dan tiada masalah, cuma kami bimbang bila tiba musim hujan atau musim raya kerana ramai yang datang ziarah,” katanya.

Sukarelawan tanah perkuburan, Kamaruddin Zaki, 37, berkata, masalah tanah jerlus hanya berlaku pada musim hujan apabila kawasan perkuburan dinaiki air menyebabkan bahagian atas kubur tenggelam dan menjadi senget kerana tanah lembik.

Bagaimanapun katanya, bukan semua kawasan di tanah perkuburan itu berisiko.

“Kalau musim hujan sahaja memang teruk, ada pelawat yang tenggelam sampai paras paha.

"Bila musim panas tak ada masalah. Kalau tengok batu nisan senget, tenggelam, itu semua kesan hujan,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan, Adi Akbar Mat Zuki, 37, turut berkongsi pengalaman rakannya yang hampir tenggelam ketika melalui kawasan tanah lembik pada waktu malam.

“Malam itu kami gali liang lahad, tanah memang dah lembut, mungkin dia tak sedar dan lalu juga.

"Tiba-tiba dia tenggelam separuh badan dan menjerit minta tolong... kami yang ada terus tarik dia keluar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!