Pegawai MSNS disiasat, dakwa kes laporan kewangan lewat

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah mengambil tindakan susulan berhubung kelewatan penghantaran laporan kewangan oleh beberapa agensi kerajaan negeri termasuk Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, kerajaan negeri telah berulang kali mengingatkan jabatan dan agensi terlibat agar mematuhi prosedur dan menyerahkan laporan secara cekap serta tepat pada masanya kepada Ketua Audit Negara.
Menurutnya, arahan telah diberikan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) agar setiap jabatan mematuhi peraturan sedia ada, namun terdapat kes tertentu yang perlu ditangani secara spesifik.
"Kelewatan laporan oleh MSNS berpunca daripada kes pemalsuan bayaran yang melibatkan beberapa pegawai agensi itu.
"Kes itu telah dilaporkan kepada polis dan tindakan undang-undang telah diambil," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Khamis.
Beliau mendedahkan, pegawai terbabit menggunakan peranti dalaman untuk memalsukan nama dalam transaksi bayaran.
"Sebab itu kita mengambil masa panjang untuk menyelesaikan isu ini dan memastikan semula wang yang hilang dapat dikembalikan," jelasnya.
Mengenai LPHS pula, Amirudin berkata, isu melibatkan audit berpunca daripada pertukaran firma audit serta kekeliruan status pemilikan aset di antara LPHS dan anak syarikatnya, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSB).
"Isu RM800 juta yang disebut bukanlah wang yang hilang, sebaliknya maklumat aset itu tidak direkodkan di tempat yang sepatutnya. LPHS memiliki aset itu tetapi pengurusannya dilakukan oleh PHSB,” katanya.
Amirudin berkata, PHSB merupakan antara anak syarikat yang cemerlang dengan kadar kutipan sewa mencapai 99 peratus sebelum pandemik, namun menurun ke paras sekitar 72 hingga 73 peratus selepas itu.
Tambah beliau, bagi menyelesaikan isu itu, kerajaan negeri telah melantik firma audit dan penasihat cukai untuk memastikan urus tadbir yang lebih teratur dan mengelakkan penalti cukai pada masa depan.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh dalam perbahasan usul Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) membangkitkan isu kelewatan laporan kewangan agensi terbabit selama tiga tahun berturut-turut.
Beliau mempersoalkan tindakan yang telah diambil terhadap pegawai-pegawai yang cuai atau bersalah dalam menguruskan penyata kewangan.
Jamil turut menggesa supaya pegawai yang benar-benar pakar dalam kewangan dilantik untuk mentadbir agensi berkenaan agar pengurusan menjadi lebih cekap, berintegriti dan amanah.
"Adakah pegawai yang cuai ini masih bertugas? Sekiranya didapati bersalah, adakah tindakan tatatertib telah dikenakan?” soal beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

