Projek Jajaran Rel Selangor belum dimuktamad, kerajaan negeri tunggu laporan perunding – Exco

Cadangan awal pembangunan Rel Selangor telah dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan pada Disember tahun lalu.
Cadangan awal pembangunan Rel Selangor telah dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan pada Disember tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan negeri belum memuktamadkan fasa permulaan bagi pelaksanaan projek Jajaran Rel Selangor kerana masih menunggu laporan akhir daripada perunding yang dilantik.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, walaupun jajaran yang dirancang melibatkan fasa dari Labu ke Puncak Alam dan seterusnya ke Sabak Bernam, pelaksanaan sebenar masih bergantung kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang disiapkan.

"Kita belum tetapkan fasa mana yang akan dimulakan dahulu kerana ia tidak semestinya bermula dari fasa pertama.

"Mungkin kita akan mulakan dari fasa kedua atau ketiga, bergantung kepada dapatan kajian oleh pihak perunding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Khamis.

Sze Han menjelaskan, semua perancangan pengangkutan awam negeri termasuk Rel Selangor telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Mobiliti Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh dirinya dan diselaraskan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Katanya, jawatankuasa itu turut disertai pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan perancangan tidak bertindih dan peruntukan digunakan secara optimum.

Beliau juga memaklumkan, cadangan awal pembangunan Rel Selangor telah dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan pada Disember tahun lalu dan mendapat maklum balas positif.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh yang telah mengemukakan surat rasmi mencadangkan perkhidmatan pengangkutan termasuk Rel Selangor diperluas ke kawasannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nurul Syazwani tampil dengan teguran lantang terhadap laporan jawatankuasa yang menurutnya tidak selari dengan janji manifesto kerajaan negeri.

"Manifesto Pakatan Harapan menyatakan pembangunan rel akan memberi tumpuan kepada Utara Selangor.

"Menteri Besar turut menyatakan perkara sama pada 25 Julai 2023, tetapi apa yang kita lihat sekarang ialah fasa pertama bermula dari Selatan iaitu Labu ke Puncak Alam,” katanya.

Beliau menegaskan, Utara Selangor seperti Tanjong Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam masih belum mempunyai akses rel termasuk LRT dan KTM, selain perkhidmatan Selangor Mobiliti yang masih perlu dipertingkatkan.

"Kami di Utara Selangor ini masih menanti dan mengharap perkhidmatan pengangkutan diperluas.

"Janganlah kawasan Selatan yang sudah pesat membangun terus diutamakan. Rakyat kami juga berhak menikmati pembangunan seimbang," tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!