Lima penyelidik UPSI terima geran bangunkan kandungan ekonomi penjagaan

Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan berjumlah RM100,000 merupakan sebahagian daripada strategi menjadikan Ipoh sebagai hab ekonomi penjagaan yang memberi fokus kepada kesejahteraan komuniti, warga emas, penjagaan kesihatan serta pengukuhan inovasi sosial di negeri ini. Foto IDR
Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan berjumlah RM100,000 merupakan sebahagian daripada strategi menjadikan Ipoh sebagai hab ekonomi penjagaan yang memberi fokus kepada kesejahteraan komuniti, warga emas, penjagaan kesihatan serta pengukuhan inovasi sosial di negeri ini. Foto IDR
A
A
A

IPOH - Lima penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih menerima dana penyelidikan melalui Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan berjumlah RM100,000.

Geran tersebut adalah sebahagian daripada strategi menjadikan Ipoh sebagai hab ekonomi penjagaan yang memberi fokus kepada kesejahteraan komuniti, warga emas, penjagaan kesihatan serta pengukuhan inovasi sosial di negeri ini.

Dalam satu kenyataan media, Institut Darul Ridzuan (IDR) memaklumkan, geran tersebut merupakan projek rintis hasil kolaborasi strategik antara IDR dan UPSI yang diselaraskan di bawah agenda pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030.

"Sebanyak RM100,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui IDR dan dipadankan dengan jumlah sama oleh pihak UPSI sebagai sokongan terhadap penerbitan kandungan bertemakan ekonomi penjagaan.

"Lima penerima geran terpilih dalam kalangan penyelidik UPSI selepas melalui proses saringan telus dan berimpak tinggi oleh Research Management and Innovation Centre (RMIC) bersama IDR," jelas kenyataan itu.

Geran berkenaan disampaikan sempena pelancaran PEMIKIR Majlis Institusi Pengajian Tinggi (Majlis IPT): Lonjakan Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Agenda Perak Sejahtera 2030 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr Maisarah Ahmad dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Kenyataan sama memaklumkan, pelancaran PEMIKIR Majlis IPT juga menandakan langkah strategik Kerajaan Perak dalam menyatukan kepakaran akademik pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai pemacu utama dasar pembangunan berteraskan ilmu.

"Majlis IPT ini ialah kesinambungan daripada Perak Sejahtera 2030 Summit x PEMIKIR Darul Ridzuan yang diadakan pada 9 Oktober 2024 lalu dan kini dikembangkan sebagai platform rasmi bagi menyatukan ahli akademik sebagai penyumbang idea, tenaga dan sumber ke arah kemajuan negeri," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!