[VIDEO] Rel kereta api era Perang Dunia Kedua ditemui di Fort Cornwallis

A
A
A

GEORGE TOWN- Satu penemuan arkeologi penting berhampiran Fort Cornwallis di sini membuka lembaran baharu terhadap sejarah perang di Pulau Pinang apabila sepasang rel kereta api berskala sempit ditemui tertanam di bawah permukaan jalan moden.

Rel sepanjang lebih tujuh meter itu ditemui pada 26 Jun lalu semasa kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki dan pembaikan bahu jalan di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah bersebelahan 'bastion' barat laut kubu bersejarah tersebut.

Rel kereta api tersebut dibina pada 1895 namun tidak dapat disahkan tahun ia dipasang di kawasan tersebut. Pekerja (kanan) di lokasi penemuan sedang membersihkan kawasan sekitar rel kereta api tersebut.
Rel kereta api tersebut dibina pada 1895 namun tidak dapat disahkan tahun ia dipasang di kawasan tersebut. Pekerja (kanan) di lokasi penemuan sedang membersihkan kawasan sekitar rel kereta api tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan tulisan yang tertera pada rel kereta api tersebut, ia dibuat pada 1895 namun tidak dapat disahkan tahun ia dipasang di kawasan tersebut.

"Ini bukan kali pertama laluan rel lama ini ditemui di kawasan ini. Pada 2017 dan 2018, segmen serupa pernah ditemui di kawasan dalam Fort Cornwallis sendiri.

"Berdasarkan gambar udara dari War Office yang dikeluarkan pada 1945, jajaran rel ini melingkari kawasan Fort Cornwallis dengan anggaran sepanjang 4 hingga 5 kilometer," katanya pada Rabu.

Kon Yeow meninjau rel kereta api di Fort Cornwallis pada Rabu.
Kon Yeow meninjau rel kereta api di Fort Cornwallis pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow sebelum itu mengadakan tinjauan di lokasi penemuan rel berkenaan bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) bersama Kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC).

Kon Yeow menambah, hasil lawatan dan penilaian, pihak JWN memutuskan untuk mengekalkan dan mempamerkan landasan berkenaan sebagai sebahagian daripada pameran awam terbuka bagi mendekatkan masyarakat dengan sejarah silam negeri ini.

"Kedua-dua penemuan ini dipercayai merupakan sebahagian daripada sistem rel ringan yang digunakan bagi tujuan logistik ketenteraan sekitar era Perang Dunia Kedua.

"Berdasarkan peta ketenteraan dan gambar udara sebelum tahun 1945, laluan rel itu dipercayai menghubungkan kawasan Padang Kota dan Esplanade dengan pelabuhan di pesisir timur.

"Ia digunakan untuk mengangkut bekalan seperti peluru, makanan dan bahan api ke gudang tentera termasuk dalam Fort Cornwallis," ujarnya.

Menurutnya, sistem rel tersebut dipercayai dibina sebelum pendudukan Jepun pada 1941, namun digunakan secara intensif sepanjang tempoh perang oleh pihak tentera.

“Penemuan ini sangat luar biasa dan di luar jangkaan.

"Ia membuka dimensi baharu dalam memahami sejarah Fort Cornwallis serta peranan strategiknya dalam sistem pertahanan pantai negara,” katanya.

Tambah beliau, pemeliharaan rel tersebut bakal menjadi satu tarikan pelancongan dan sejarah yang signifikan, jika ditampilkan dengan pendekatan yang tepat.

"Beberapa cadangan sedang dikaji termasuk mewujudkan pameran terbuka dengan rel itu dikekalkan di tempat asal, lengkap dengan papan penerangan dan elemen landskap bagi memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung.

“Banyak negara telah berjaya mempamerkan tinggalan rel zaman perang dengan pendekatan kreatif tanpa perlu membina semula secara besar-besaran. Kita yakin perkara sama boleh dilakukan di sini,” katanya.

Kon Yeow berkata, setakat ini, bahagian rel yang ditemui itu telah didokumentasi dan sedang dilindungi dengan teliti sementara menunggu cadangan akhir yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Katanya lagi, penemuan ini juga dilihat berpotensi besar untuk dimanfaatkan dalam usaha memperkukuh nilai sejarah dan warisan kawasan North Seafront sebagai lokasi bersejarah utama di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!