Gajah beranak di landasan, kereta api berhenti dua jam

Kereta api tersebut kekal berhenti selama lebih dua jam, memberi laluan kepada gajah berkenaan melahirkan anaknya dengan selamat.
Kereta api tersebut kekal berhenti selama lebih dua jam, memberi laluan kepada gajah berkenaan melahirkan anaknya dengan selamat.
A
A
A

NEW DELHI – Detik penuh emosi tercetus di negeri Jharkhand, India, apabila sebuah kereta api milik Indian Railways berhenti selama lebih dua jam bagi memberi laluan kepada seekor gajah betina yang sedang melahirkan anak di tepi landasan.

Menurut laporan Hindustan Times, kejadian luar biasa itu tular selepas sebuah video dimuat naik di platform X oleh pengguna bernama @byadavbjp, memaparkan kereta api yang berhenti tidak jauh dari lokasi gajah terbabit.

Situasi itu menyentuh hati ramai apabila gajah tersebut kelihatan sedang bertarung nyawa melahirkan anaknya di atas batu landasan.

Pemandu kereta api yang menyedari keadaan tersebut segera memberhentikan kenderaan demi keselamatan haiwan itu.

Selepas lebih dua jam, gajah berkenaan selamat melahirkan anaknya sebelum kedua-duanya dilihat berjalan perlahan-lahan memasuki kawasan hutan berhampiran.

Menteri Alam Sekitar India, Bhupender Yadav turut berkongsi video tersebut di platform X dan menyifatkannya sebagai simbol keharmonian antara manusia dan haiwan.

"Di sebalik pelbagai berita mengenai konflik antara manusia dan haiwan, saya gembira berkongsi contoh indah kewujudan harmoni ini," katanya.

Peristiwa itu mendapat reaksi positif daripada pengguna media sosial yang memuji tindakan kemanusiaan pihak kereta api dan kepedulian terhadap alam sekitar.

“Ini antara berita terbaik yang saya lihat hari ini. Terima kasih kerana berkongsi,” tulis seorang pengguna X.

Artikel Berkaitan:

“Sekurang-kurangnya gajah dan anaknya selamat. Syabas juga kepada pihak kereta api,” kata seorang lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!