Kes bunuh penuntut di Cyberjaya: Dua suspek dituduh esok

Laporan Sinar Harian mengenai suspek kes pembunuhan penuntut universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai suspek kes pembunuhan penuntut universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu.
A
A
A

SEPANG - Dua individu yang disiasat dalam kes pembunuhan penuntut universiti di Cyberjaya pada 24 Jun lalu akan didakwa di Mahkamah Sepang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pertuduhan akan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek utama iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia awal 20-an akan dituduh di mahkamah pada jam 8.30 pagi esok, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 3 Julai, media melaporkan bahawa tiga suspek dalam kes pembunuhan penuntut universiti swasta itu disambung reman selama tujuh hari sehingga Khamis.

Ketiga-tiga suspek itu sebelum ini telah direman selama tujuh hari bermula 27 Jun hingga Khamis.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata bahawa dengan penahanan empat individu termasuk suspek utama iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, tempoh reman semua suspek berakhir pada Khamis dan Jumaat, dengan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiga suspek termasuk suspek utama ditahan sehari selepas kejadian, manakala seorang lagi suspek ditahan dua hari kemudian.

Beliau dilaporkan berkata, rakan kepada suspek utama yang turut ditahan ialah individu yang bersama lelaki itu ketika menggunakan kad pengeluaran automatik (ATM) milik mangsa.

Artikel Berkaitan:

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Maniishapriet Kaur, 20, yang berasal dari Sarawak, ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi, 24 Jun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!