Kes bunuh penuntut universiti: Mahkamah kecoh, keluarga mangsa cuba hampiri suspek

Pegawai polis yang berada di lokasi menenangkan individu berkenaan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Pegawai polis yang berada di lokasi menenangkan individu berkenaan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
A
A
A

SEPANG - Suasana di Mahkamah Majistret di sini bertukar kecoh apabila seorang lelaki dipercayai ahli keluarga penuntut universiti yang mati dibunuh pada 24 Jun lalu cuba menghampiri suspek.

Lelaki berbaju merah itu menghampiri suspek ketika dia keluar dari mahkamah selepas selesai permohonan sambungan reman di sini pada Khamis.

Suspek utama iaitu seorang lelaki tempatan bersama dua suspek wanita dilihat keluar dari mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi sebelum individu terbabit berjalan menghampiri mereka sambil menjerit.

Tindakan pantas pegawai polis yang berada di lokasi menenangkan individu berkenaan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, dengan penahanan empat individu termasuk suspek utama iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, reman semua suspek berakhir pada Khamis dan Jumaat dengan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiga suspek termasuk suspek utama ditahan sehari selepas kejadian, manakala seorang lagi suspek ditahan dua hari kemudian.

Beliau dilapor berkata, rakan kepada suspek utama yang turut ditahan adalah individu bersama lelaki itu ketika menggunakan kad pengeluaran automatik (ATM) milik mangsa.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Maniishapriet Kaur, 20, yang berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan, pada jam 10 pagi 24 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!