Kes bunuh penuntut di Cyberjaya: Laporan patologi sahkan mangsa tidak dirogol

SHAH ALAM - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur rogol ke atas penuntut universiti swasta, Maniishapriet Kaur, yang ditemukan mati di sebuah unit apartmen di Cyberjaya minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dapatan itu adalah berdasarkan hasil laporan pemeriksaan patologi yang dijalankan ke atas mangsa.
Namun kata beliau, walaupun tiada kesan fizikal menunjukkan berlakunya serangan seksual, siasatan lanjut tetap dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen jenayah seksual lain.
“Hasil laporan patologi tidak mengesan sebarang tanda rogol. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mencari sebarang bukti lain yang mungkin berkait dengan unsur jenayah seksual," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Maniishapriet, 20, yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemukan mati di dalam bilik asramanya pada jam 10.28 pagi, Khamis lalu.
Mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama berkenaan selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu. Mendiang dijadualkan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.
Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk suspek utama yang merupakan teman lelaki kepada rakan serumah mendiang.
Kesemua mereka ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
