Kerajaan Selangor atur tindakan segera tangani pencemaran Sungai Tangkas

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memandang serius aduan penduduk berhubung pencemaran di kawasan Sungai Tangkas dan akan mengatur lawatan tapak dalam masa terdekat untuk menilai situasi sebenar.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, perkara itu turut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang meminta kerajaan mengambil tindakan segera.
“Saya telah berbincang dengan ADUN daripada Perikatan Nasional berkenaan isu ini. Mereka juga telah mengusulkan supaya tindakan diambil dan saya akan aturkan satu tarikh untuk turun padang,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Dewan Negeri di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diminta melakukan pemantauan berterusan di lokasi terlibat termasuk tindakan penguatkuasaan.
“Namun, isu pembuangan sampah haram ini amat mencabar. Bila kita pergi, mereka tiada. Bila kita balik dalam satu dua hari mereka muncul semula.
“Mereka juga ada ‘tonto’ dan menggunakan pelbagai teknologi seperti telefon pintar dan CCTV bagi memantau kehadiran pihak berkuasa,” ujarnya.
Suee Lim menjelaskan tindakan telah dilakukan termasuk operasi tangkapan, tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab tetap kembali melakukan perbuatan sama sebaik penguatkuasa beredar.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama orang ramai dan pengguna perkhidmatan pembuangan sampah supaya menggunakan syarikat yang sah berdaftar, bukan yang menawarkan perkhidmatan dengan harga murah tetapi membuang sampah secara haram.
“Saya mohon rakyat menjadi ‘mata-mata’ kepada pihak berkuasa. Boleh terus e-mel kepada saya jika ada maklumat dan kita akan lakukan pemantauan serta tindakan susulan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh perundangan bagi membanteras kegiatan tersebut termasuk meminda Akta 672 supaya hukuman lebih berat boleh dikenakan.
“Jika diluluskan di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan Persekutuan kita boleh kenakan kompaun sehingga RM100,000 dan hukuman penjara sehingga lima tahun. Itulah yang kita mahukan,” jelasnya.
Tambah beliau, kuasa penguatkuasaan yang lemah ketika ini menjadi antara kekangan utama, namun kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan isu ini dikawal dan ditangani dengan sebaiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

