Penunggang motosikal maut terbabas ke laluan bertentangan

KOTA TINGGI – Gara-gara terbabas ke laluan bertentangan, seorang penunggang motosikal maut dalam nahas di Kilometer 46, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 5.15 pagi.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha NVX yang ditunggang oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun, dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat perlanggaran tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Motosikal yang dinaiki mangsa turut musnah terbakar.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Difahamkan, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika disabitkan kesalahan.
Seseorang yang didapati bersalah di bawah seksyen ini juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
