[VIDEO] Suami isteri mengaku tidak salah tawar pakej haji tanpa lesen sah
SEREMBAN - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menawarkan pakej haji dengan menerima transaksi bayaran daripada seorang wanita berjumlah RM81,000 tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah.
Tertuduh, Mhd Lihan Sabari, 60, yang merupakan pekebun sawit dan Noor Nisrin Mahlim, 58, tidak bekerja membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh membuat transaksi perniagaan mengelolakan perjalanan ke Tanah Suci bagi maksud menunaikan haji dengan menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Besar, Kawasan Hijau, Mantin dekat Nilai pada 4 Februari hingga 7 April 2025.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1955 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2)(a) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan boleh didenda minimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak kurang RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam, Mohd Razak Sharif memaklumkan anak guamnya, Mhd Lihan hanyalah bekerja sebagai pekebun sawit dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan manakala tertuduh wanita adalah isterinya yang tidak bekerja.
Tambahnya, tertuduh membuka kelas pengajian Islam secara percuma di Batu Pahat, Johor dan menanggung kos operasinya selain masih menanggung tiga daripada lima anak mereka.
Beliau kemudiannya memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan pasangan terbabit memerlukan wang yang banyak untuk membayar jaminan selain bersetuju dengan beberapa syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis Yong Peng, Batu Pahat setiap bulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu saksi.
Sebutan semula bagi serahan dokumen pada 11 Ogos ini.
Media sebelum ini melaporkan hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji berkecai apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Kesemua warga emas itu dilaporkan dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

