[VIDEO] Pemandu lori mengaku tidak bersalah beri rasuah RM100

A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan cuba memberikan rasuah berjumlah RM100 kepada seorang pegawai polis tahun lalu.

Tertuduh, P. Sattiasegar, 45, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 12.45 tengah 28 Ogos tahun lalu di hadapan padang bola, Kampung Pogoh, Segamat.

Tertuduh yang ketika itu sebagai pemandu lori didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai dorongan agar tindakan tidak diambil terhadap seorang warga asing, yang juga kelindan lori tersebut, didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tertuduh (dua dari kanan) diiringi polis di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.
Tertuduh (dua dari kanan) diiringi polis di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.

Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan dan dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin, mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, sementara tertuduh diwakili peguam, K. Barathi.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 20 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!