Untung tak dapat, RM300,000 lesap

ALOR SETAR – Seorang individu kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud yang dijalankan secara dalam talian menggunakan aplikasi Alpace.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima laporan berhubung kes penipuan pelaburan terbabit pada jam 1.04 petang Isnin.
“Pada 11 Mei, mangsa yang tertarik dengan tawaran iklan pelaburan di laman Facebook telah menghubungi beberapa individu melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘The Ark of Alpha’ dan ‘TBG Earning Plan 8’ berkaitan pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Selasa.
Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi tersebut daripada pautan yang diberikan untuk memudahkan urusan pelaburan.
“Individu tersebut menjanjikan mangsa akan menerima pulangan harian sebanyak 10 peratus.
“Mangsa percaya dengan janji tersebut telah melakukan 18 transaksi secara berperingkat bermula 14 Mei hingga 17 Jun lalu, dengan jumlah keseluruhan RM302,100 ke dalam tiga akaun bank berbeza tanpa membuat sebarang semakan,” katanya.
Yew Lik berkata, mangsa hanya berpandukan arahan yang diberikan dalam kumpulan WhatsApp sebelum menyedari telah ditipu apabila suspek terus meminta wang tambahan kononnya untuk mendapatkan semula modal dan pulangan yang dijanjikan.
“Berdasarkan kes-kes sebegini, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial serta elakkan mendepositkan wang kepada individu tidak dikenali," ujarnya.
Tambahnya, semakan juga boleh dibuat melalui aplikasi Semak Mule, Facebook rasmi JSJK PDRM atau dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
“Jadilah rakyat yang bijak dan elakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

