Peningkatan tarif AS: Mohd Radzi tuntut penjelasan kerajaan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mempersoalkan adakah kadar tarif sebanyak 25 peratus yang diumumkan Amerika Syarikat ditetapkan selepas Kerajaan Malaysia bersetuju untuk melonggarkan dasar-dasar negara sebagai konsesi rundingan.
Menurutnya, kadar baharu itu bukan sahaja lebih tinggi berbanding kadar asal yang diumumkan pada 2 April 2025 malah Malaysia kini menjadi satu-satunya negara ASEAN yang berdepan peningkatan tarif, sedangkan negara-negara jiran seperti Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar menerima pengurangan kadar antara empat hingga 26 peratus.
“Perkara ini menimbulkan banyak tanda tanya. Para pemimpin kerajaan sebelum ini memberi gambaran seolah-olah rundingan berjalan dengan amat baik dan positif. Namun realitinya, hasil rundingan yang diumumkan langsung tidak mencerminkan gambaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada keputusan itu berpunca daripada sebarang kelonggaran dasar negara yang telah diberikan kerajaan dalam proses rundingan dengan Amerika Syarikat.
“Jika benar, kerajaan perlu menyatakan dengan jelas apakah dasar-dasar tersebut? Apakah bentuk konsesi yang telah dipersetujui dan adakah ia mengorbankan prinsip dan kepentingan negara?
“Lebih membimbangkan, adakah kerajaan akan terus membuat kelonggaran tambahan dalam rundingan susulan sebelum kadar tarif ini mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos nanti?” soal bekas Menteri Pendidikan itu.
Mohd Radzi turut meminta kerajaan menjelaskan bentuk bantuan strategik dan insentif yang akan diberikan kepada sektor-sektor ekonomi bakal terkesan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pengeksport tempatan.
“Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri. Penjelasan yang telus dan menyeluruh amat penting kerana implikasi tarif timbal balik ini sangat besar terhadap ekonomi negara, kehidupan rakyat serta masa depan perdagangan antarabangsa Malaysia.
“Lebih malang lagi jika kerajaan telah pun mengorbankan prinsip dan dasar negara, namun kita tetap menerima kadar tarif yang lebih tinggi.
"Keadaan ini ibarat pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan apabila sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 23 Jun lalu ditangguhkan ke 21 Julai, sekali gus melambatkan perbahasan isu-isu penting berkaitan rakyat dan negara.
“Saya tegaskan isu ini perlu dibahaskan segera. Rakyat berhak tahu apa yang sedang berlaku dalam rundingan perdagangan antarabangsa negara,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

